Perwakilan Puteri UMNO tegas mahu  pemilihan parti selepas PRU-15 - Utusan Malaysia

Perwakilan Puteri UMNO tegas mahu  pemilihan parti selepas PRU-15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pergerakan Puteri UMNO menegaskan mahu pemilihan parti itu diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Setiausaha Pergerakan itu, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, 171 bahagian bertegas mahukan jentera parti dipimpin dan difokuskan ke arah gerak kerja memenangi PRU-15 sebagai agenda utama parti dan hanya mengadakan pemilihan parti selepas PRU-15. 

Beliau berkata, ini bagi memastikan seluruh jentera dan kepemimpinan parti memberi fokus seratus  peratus kepada agenda membela rakyat dan menjadi suara rakyat menjelang PRU 15 nanti.

Katanya, ketidakstabilan parti menuju ke PRU-15 selepas pemilihan memberi impak negatif jangka panjang kepada parti dan rakyat khususnya.

“Usul kedua yang disokong sebulat suara oleh para perwakilan yang bersidang tempoh hari adalah memastikan wanita muda dinamakan sebagai calon pilihan raya demi memperkasa dan menaik taraf kedudukan golongan muda dalam parti. 

“Pentas politik negara dan dunia hari ini memerlukan golongan intelektual muda, idealistik, berfikiran jauh, berdaya saing selari dengan peredaran masa dan mampu bersuara mewakili golongan muda untuk berada di dalam dewan pembuat dasar yang akan menentukan masa hadapan anak muda. 

“Strategi berani dan bernas oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tempoh hari yang mengetengahkan lebih ramai calon muda dan muka baharu jelas mendapat sokongan daripada rakyat apabila mereka dipilih oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO berlangsung pada 11 dan 12 Disember lepas, manakala kurang dari 10 bahagian yang akan bersidang pada esok dan Ahad ini. 

Menurut Asuma Beevi, usul ketiga yang dibawa suara majoriti perwakilan Pergerakan Puteri UMNO adalah mendesak kerajaan agar menjadi sebuah kerajaan yang memperkasa wanita dan memberi ruang seluas-luasnya kepada wanita dalam penggubalan dasar negara. 

Katanya, ini kerana Kabinet hari ini hanya membuka ruang kepada lima menteri dan empat timbalan menteri wanita atau 0.13 peratus daripada keseluruhan Kabinet. 

Oleh itu, katanya, kerajaan didesak melantik sekurang-kurangnya 30 peratus wakil wanita di dalam Kabinet Malaysia dan menjadikan itu sebagai satu peraturan dalam membentuk Kabinet negara.

“Usul-usul itu akan diperhalusi dan dibahas di Persidangan Agung UMNO Pergerakan Puteri UMNO Malaysia bagi mendapatkan mandat perwakilan seterusnya dimuktamadkan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO. 

“Selain agresif bersiap-siaga menunggu gendang perang dipalu, harapan para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara adalah agar suara anak muda diangkat dan terus diperkasakan demi kelangsungan parti keramat ini.

“Syabas kepada para perwakilan Pergerakan Puteri UMNO seluruh negara yang matang, lantang dan bijak memilih platform yang betul untuk menyuarakan pendapat kepada pimpinan yang tertinggi. 

“Besar harapan kami agar usul-usul yang dibawa itu diperhalusi sebaiknya dan dizahirkan dengan ketetapan yang membawa kebaikan kepada parti dan rakyat Malaysia secara amnya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya