Trend aktiviti menanam sayur-sayuran dan pokok hiasan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong peniaga nurseri KMKA Nurseri, Azimah Baharudin, untuk menghasilkan tanah campuran bagi dijual kepada pencinta tanaman.
Kata Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berusia 52 tahun itu, dia mengusahakan perniagaan nurseri sejak tiga tahun lalu, namun permintaan tanah campuran di bawah jenama Tanah Merah Campur dimulakan lebih setahun lalu.
“Sebelum ini, saya hanya menggunakan tanah campuran yang dihasilkan sendiri untuk pokok yang disemai di nurseri. Tidak terfikir untuk menjual tanah campuran ini.
“Sejak PKP, pelanggan semakin ramai dan mula mencari tanah bersesuaian untuk tanaman tambahan lagi bagi mereka yang tidak mempunyai keluasan tanah di kawasan kediaman.
“Jadi, dari situ terdetik untuk saya kongsikan produk yang saya hasilkan sendiri menggunakan tanah hitam, tanah merah, sekam padi dan baja kepada pelanggan,” katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Katanya, tanah campuran dihasilkan menggabungkan jenis tanah dan baja yang sesuai untuk digunakan untuk semua jenis pokok termasuk sayur-sayuran dan pokok bunga hiasan.
“Setiap hari, lebih 30 bungkus tanah dibancuh secara manual dan ia dijual pada harga RM3 bagi setiap empat kilogram (kg) namun bagi pembelian empat bungkus tanah hanya pada RM10,” katanya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk keluaran Sahabat ini boleh kunjungi KMKA MINI NURSERY atau 013-5058662.
TAMAT