KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna Nasir, berkongsi dirinya memilih jenama tudung penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin, Loveta sebagai wajah baharu koleksi berkenaan.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon naskhah popular Memori Cinta Suraya itu menerusi entri Instagram miliknya.
Menurut Anzalna, dia memilih jenama Loveta kerana mempunyai pengertian tersendiri buat dirinya walau sebelum ini menerima banyak tawaran daripada pelbagai jenama tudung.
“Alhamdulillah, sejak bertudung banyak tawaran dari pelbagai jenama dalam dan luar negara. Tetapi, @lovetahq menjadi pilihan Anzalna.
“Selain dari material dan reka bentuk tudung yang mudah disarung, Anzalna tertarik untuk menjadi sebahagian dari Loveta.
“Kerana ada permintaan terakhir dari arwah iaitu meneruskan legasi Loveta dan dalam masa yang sama dapat menolong team ini mencari rezeki untuk keluarga,” kongsinya di Instagram.
Mengulas lanjut, ibu kepada seorang cahaya mata itu juga memaklumkan pada awalnya dia bertanya mengenai pelawaan tersebut kepada suami tercintanya, Hanif Zaki.
“Masa team @lovetahq menghantar mesej dan bertanya untuk kerjasama ini, Anzalna macam berbelah bahagi kerana tudung ini memang sudah sinonim dengan nama arwah @sitisarahraissuddin. Banyak kali tanya pendapat @hanif_zaki.
“Bagaimanapun, ini pengambaran yang sangat menyentuh hati. Kepada team Loveta, minta maaf sekiranya Anzalna tidak dapat memberikan yang terbaik sepanjang pengambaran disebabkan terlalu emosi. Anzalna sangat rindukan arwah. Al-Fatihah buat arwah,” ujarnya panjang.
Menjengah di Instastory pula, pelakon itu ada mencoretkan sebuah dedikasi mengenai pengambaran video yang dimuat naiknya.
Tambahnya, dia turut menyifatkan anak perempuan Allahyarhamah Siti Sarah, Dzahira Talita sebagai seorang kanak-kanak yang manja dan kuat.
“Mungkin terlalu banyak kali ulang menonton video pengambaran @lovetahq dengan alunan lagu dari arwah, sampai termimpi. Al-Fatihah. Tetapi sekejap sahaja dia muncul.
“Satu tugas yang agak besar tetapi Anzalna percaya hari ini menolong orang. Semoga di waktu Anzalna susah ada yang datang menolong, InsyaAllah.
“Dekta (anak perempuan arwah) anak yang cantik, sangat manja, kelakar serta sangat kuat. Tetapi ada masa dia akan termenung. Sayang awak , Dekta!” coretnya panjang.
Terdahulu, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhirnya tepat jam 5.13 pagi, pada 9 Ogos lalu akibat jangkitan virus Covid-19.