ALOR SETAR: Kerajaan diminta memperkenal model perniagaan baharu sebagai salah satu cara bagi mengatasi kenaikan harga barang yang berpunca daripada orang tengah dalam rantaian bekalan.
Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd. Zayad Md. Ismail berkata, pengenalan model perniagaan baharu itu perlu bersifat inklusi bagi membantu mempercepat pemulihan industri terutamanya industri kecil dan sederhana (IKS).
Dalam masa sam,a katanya, dasar-dasar lama yang tidak memberi kebaikan kepada rakyat juga perlu diketepikan.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) misalnya perlu mengkaji segera seluruh rantaian makanan daripada peladang, pengedar, pemborong serta peruncit selain mengenal pasti akar kepada masalah ini.
“Sistem pasaran bebas turut perlu dipantau dengan memastikan setiap rantaian perniagaan dijalankan dengan efisien dan telus. Saluran pasaran berkonsepkan dari ladang terus kepada pengguna boleh dipraktikkan yang seakan-akan sama dengan pasar tani mahu pun ‘nat’ di Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE