Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguh - Utusan Malaysia

Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang dijadualkan bulan depan ditangguhkan susulan bencana banjir yang melanda negara.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh pimpinan parti itu.

Katanya, tarikh perhimpunan yang sepatutnya adalah pada 12 hingga 15 Januari ini ditangguh ke suatu tarikh yang dimaklumkan kemudian.

“Adalah dimaklumkan bahawa Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan ahli Majlis Kerja Tertinggi bersetuju agar Perhimpunan Agung UMNO 2021 ditangguhkan.

“Ini disebabkan bencana banjir yang berlaku di banyak kawasan dan pimpinan akar umbi diminta membantu mangsa-mangsa banjir.

“Ada beberapa bahagian seperti Kota Raja dan Klang masih tidak dapat mengadakan Mesyuarat Perwakilan Bahagian kerana dilanda musibah banjir.

“Perhimpunan Agung UMNO biasanya melibatkan hampir 6,000 pemimpin akar Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri daripada 191 UMNO Bahagian dan ribuan lagi pemerhati dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ahmad, musibah yang melanda negara ketika ini turut mendukacitakan parti itu.

“UMNO bersama berdukacita terhadap rakyat yang terkesan kerana bencana banjir dan berharap jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri terus membantu mereka (yang terjejas),” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya