PUTRAJAYA: Satu acara perarakan Piala Malaysia ke-100 tahun dalam bandar raya akan diadakan bagi membolehkan orang ramai menyaksikan lebih dekat kejayaan Kuala Lumpur City (KL City) FC, esok.
Perkara itu dikongsi sendiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu program bual bicara hari ini, susulan kejayaan KL City menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada Final TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
Katanya, beliau dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim ada pergi berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam, bagi mendapatkan keizinan cuti kerana kebanyakan negeri apabila menang bola sepak, keesokannya akan cuti peristiwa.
“Perdana Menteri kemudian bersetuju memberi Wilayah Persekutuan diisytiharkan cuti pada Jumaat maka kita akan mengadakan perarakan.
“Esok (Jumaat) akan ada perarakan Piala Malaysia dalam bandar raya sempena cuti Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya, hari ini.
Utusan Online semalam melaporkan Shahidan mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberikan Hari Kelepasan Am Tambahan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada Jumaat ini.
Menurut beliau, kemenangan semalam adalah pencapaian terbaik buat KL City FC setelah 32 tahun penantian untuk menjuarai Piala Malaysia yang mana kali terakhir kemenangan pada tahun 1989.
“Pengisytiharan Hari Kelepasan Am Tambahan ini dibuat selaras dengan subseksyen 9(2) Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369] bagi Wilayah Persekutuan,” katanya.
KL City FC melakar kemenangan 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, selain meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Kali terakhir Kuala Lumpur menjulang trofi tertua itu adalah pada 1989 yang menyaksikan mereka melakar rekod hatrik selepas muncul juara pada 1987 dan 1988.
Kekalahan itu nyata menyentap ego juara bertahan itu yang menjadi pilihan rata-rata pemerhati dan peminat bola sepak tempatan untuk memenangi piala berkenaan.
Selain bergelar juara, KL City juga mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini. – UTUSAN