PUTRAJAYA: Majlis perarakan Piala Malaysia dibatalkan kerana atas faktor keselamatan dan kesihatan orang ramai yang dijadualkan hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim berkata, perarakan tersebut terpaksa dibatalkan atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Kami patuh arahan MKN dan kami membatalkan majlis perarakan Piala Malaysia. Pembatalan ini membabitkan kehadiran orang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan tidak sesuai diadakan ketika pandemik COVID-19,” katanya melalui satu hantaran Facebook milikinya.
Juga sehubungan itu, Presiden pasukan bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC, Tan Sri Annuar Musa berkata, majlis ‘Victory Parade KL City’ terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab keselamatan dan kesihatan penyokong KL City FC.
“Dukacita dimaklumkan, Victory Parade KL City esok terpaksa dibatalkan. Kita akur supaya aktiviti-aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal tidak sesuai pada ketika ini.
“Keselamatan dan kesihatan penyokong KL City serta warga kota kita utamakan,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Terdahulu, rata-rata portal media melaporkan, majlis tersebut diadakan untuk meraikan kejayaan KL City menewaskan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) 2-0 pada Final TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin. – UTUSAN ONLINE