JELEBU: Bencana banjir yang melanda daerah ini turut menjejaskan perniagaan perkhidmatan mengait yang dijalankan oleh seorang peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Rasidah Nasir, 49.
Katanya, peralatan dan produk mengait yang dijalankan bermula 2017 itu musnah sama sekali dalam kejadian banjir yang berlaku pada malam 18 Disember lalu.
Rasidah berkata, sebaik sahaja air banjir surut di rumahnya yang terletak di Kampung Seperi keesokan harinya, dia hanya menjumpai benang-benang yang sudah pun bersalut lumpur yang disimpan di dalam laci almari, namun, kebanyakan peralatan perniagaannya itu hanyut dibawa arus deras banjir.
Lebih menyedihkannya, kira-kira 10 tempahan pelanggan yang sudah siap juga hilang dalam kejadian bencana berkenaan.
“Pada mulanya saya begitu kecewa dan hilang punca kerana tidak pernah berhadapan situasi begini. Apatah lagi tidak sempat menyelamatkan barangan di rumah. Bagaimanapun, kini saya reda dan harap ada rezeki yang lebih baik buat saya sekeluarga.
“Pelanggan juga faham dan dapat bertolak ansur. Malah, lebih terharu ramai rakan yang mempunyai hobi mengait yang saya kenali menerusi Facebook menghulurkan bantuan membelikan peralatan mengait dan benang,” katanya ketika ditemui di Kampung Seperi di sini semalam.
Sementara itu, berkongsikan pengalamannya, Rasidah berkata, dia memang tidak menyangka dalam waktu yang singkat air dari sungai berhampiran sudah melimpah dan rumahnya dinaiki air menghampiri siling.
“Saya dan dua orang anak serta seorang menantu turut berada di rumah, namun, kami hanya sempat menyelamatkan diri sahaja kerana sebaik membuka pintu rumah, air masuk meluru dan tinggi,” katanya. – UTUSAN ONLINE