SWITZERLAND: Penyokong bola sepak terus ‘kempunan’ untuk menyaksikan pertembungan di antara Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi selepas undian terbatal pada proses undian pusingan kelayakan 16 terakhir Liga Juara-Juara.
Badan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengisytiharkan undian pertama tidak sah selepas terdapat kesilapan teknikal dan undian terpaksa dibuat semula.
“Terdapat masalah teknikal terhadap perisian dari segi penyedia perkhidmatan luar yang mengarahkan pegawai memilih pasukan yang layak untuk beraksi, kesilapan terjadi dalam undian untuk Pusingan 16 Liga Juara-Juara UEFA.
“Justeru itu, undian diisytiharkan tidak sah dan perlu dibuat semula sepenuhnya,” kata UEFA dalam satu ciapan di Twitter.
Kali terakhir bintang Portugal dan Argentina itu bertemu ketika perlawanan antara Juventus menentang Barcelona di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim lalu.
Manchester United akan menentang Juara La Liga, Atletico Madrid dalam pusingan seterusnya selepas undian kedua dibuat, manakala PSG akan bertemu Real Madrid yang bakal menjadi perlawanan paling menarik pada pusingan itu.
Dalam pada itu, Juara bertahan, Chelsea memperolehi lawan yang agak mudah apabila mereka digandingkan menentang pasukan Perancis, Lille yang sedang bergelut musim ini dan kini berada di tangga kesebelas dalam Ligue 1.
Manchester City diundi bertemu juara Liga Europa, Villarreal dan Red Bull Salzburg berdepan lawan sukar selepas diundi menentang juara enam kali, Bayern Munich.
Benfica dijadualkan menentang Ajax dan Villarreal akan bertemu Juventus dalam dua perlawanan terakhir. – UTUSAN