Penyelia premis lombong bitcoin haram ditahan, TNB rugi RM220,521 - Utusan Malaysia

Penyelia premis lombong bitcoin haram ditahan, TNB rugi RM220,521

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki penjaga premis pusat perlombongan bitcoin yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram ditahan polis dalam serbuan di Taman Berjaya, Skudai, di sini awal pagi hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu kira-kira pukul 2 pagi yang dijalankan polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Menurut beliau, polis merampas 170 buah mesin melombong bitcoin dan sebuah mesin pembekal tenaga.

“Berdasarkan siasatan dibuat, premis berkenaan tidak berdaftar dengan TNB dan sambungan bekalan elektrik dibuat adalah secara terus daripada kotak TNB ke premis berkenaan.

“Anggaran jumlah kerugian terhadap TNB adalah RM73,507 sebulan di mana dalam tempoh tiga bulan sejak premis berkenaan beroperasi, jumlah keseluruhan kerugian TNB adalah RM220,521,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, suspek yang ditahan berperanan sebagai penyelia premis tersebut dan menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

“Kegiatan membuat sambungan haram secara ‘bypass meter’ boleh mendatangkan risiko kebakaran, kerosakan dan gangguan bekalan elektrik pada premis berdekatan.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan melakukan khianat terhadap harta benda milik TNB, manakala TNB turut mahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990,” jelasnya.

Sementara itu, Ayob Khan memberitahu, sejak Januari 2021 hingga kini, sebanyak 33 serbuan melibatkan premis perlombongan bitcoin haram dengan sembilan suspek telah berjaya ditahan.

“Dalam tempoh berkenaan, sebanyak 2,673 mesin melombong bitcoin bernilai RM2 juta telah dirampas.

“Polis Johor terus komited untuk membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik secara haram dan memohon kerjasama orang awam untuk menyampaikan sebarang maklumat berhubung kegiatan berkenaan di kawasan mereka,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya