Penyamun 'Ah Ton Exora' kecundang - Utusan Malaysia

Penyamun ‘Ah Ton Exora’ kecundang

CHA Hoong Fong (dua kiri) menunjukkan barang rampasan sewaktu sidang akhbar di IPD Klang Selatan di Klang, Selangor, hari ini. UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kegiatan licik seorang lelaki dikenali sebagai ‘Ah Ton Exora’ yang aktif melakukan pecah rumah bersendirian di sekitar daerah ini kecundang apabila dicekup polis pada 6 Disember lalu.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu dipercayai beroperasi pada waktu siang terutama ketika mangsa keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penahanan dilakukan pihaknya susulan kes pecah rumah melibatkan seorang pekerja kilang di Bandar Putera di sini, pada 3 Disember lalu.

Katanya, dalam kejadian pukul 5.50 petang, mangsa memaklumkan kecurian beberapa barang kemas dan wang tunai RM1,000 selain kesan pintu dipecahkan.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, kita kemudian berjaya menahan suspek di sekitar Klang.

“Selain itu, tiga suspek termasuk pasangan suami isteri disyaki pembeli barang hasil curi diberkas bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.

Jelas Hoong Fong, pihaknya antaranya turut merampas beberapa peralatan pecah rumah, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM12,200.

Tambah beliau, siasatan pihaknya mendapati lelaki dikenali Ah Ton itu memiliki sebanyak 14 rekod jenayah lampau.

“Dengan tertangkapnya suspek, kita berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di kawasan Klang Selatan. 

“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya