Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah - Utusan Malaysia

Penolong pengurus ladang dituduh hantar komunikasi lucah

MOHD. Afif Ramlan yang dituduh menghantar komunikasi lucah terhadap seorang wanita keluar dari  Mahkamah Sesyen, Alor Setar, Kedah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang penolong pengurus ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah terhadap seorang wanita, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Afif Ramlan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada wanita tersebut dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Komunikasi bersifat lucah itu kemudiannya dibaca pada 19 Jun 2019 kira-kira pukul 11.59 malam sebuah rumah di Taman Uda, Jalan Sultanah di sini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama.

Tertuduh yang bertugas di Kuala Lumpur pula diwakili peguam. Dr. Mohamad Sofee Razak.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih setahun atau didenda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya