Penjual burger terlepas hukuman mati kali kedua - Utusan Malaysia

Penjual burger terlepas hukuman mati kali kedua

MUHAMMAD Hafiz Saifuddin (tengah) dilepaskan dan dibebaskan daripada dua pertuduhan membunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang penjual burger buat kali kedua daripada pertuduhan membunuh dua individu, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Muhammad Hafiz Saifuddin, 32, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada kes pihak pendakwaan pada peringkat akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya, Abd. Halim menjelaskan keterangan diberikan tertuduh secara bersumpah dari kandang saksi dan disokong keterangan bapanya yang juga tampil sebagai saksi adalah tidak terjumlah kepada penafian, sebaliknya berkredbiliti.

“Selain itu, ketiadaan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada pakaian kedua-dua si mati, kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tidak membantu kepada pengecaman.

“Mahkamah juga mendapati tiada bukti wujud elemen niat bersama (membunuh dengan seorang lagi tertuduh). Justeru, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh,” katanya.

Berdasarkan dua pertuduhan, Muhammad Hafiz didakwa bersama rakannya dan dua orang lagi dengan mencapai niat bersama bagi membunuh seorang lelaki warga Indonesia, Lukmanul Hakim Sudahnan dan wanita tempatan, Norlia Alias, 46, antara pukul 1 hingga 1.25 pagi, 25 Mac 2015.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di tangga premis sebuah pusat karaoke dan hadapan sebuah premis lain di Bangunan Perniagaan Sunway Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Sebaik hukuman dibacakan, Muhammad Hafiz dilihat bergegas menemui ahli keluarganya yang berada di galeri mahkamah dan saling berpelukan sambil menitiskan air mata.

Muhammad Hafiz dan rakannya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada 24 Jun 2018 selepas pihak pendakwaan yang mengemukakan 26 saksi pendakwaan  gagal membuktikan kes prima facie dalam prosiding bermula 16 Mei 2016.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 18 November lalu memutuskan terdapat unsur prima facie dengan tertuduh diarahkan menjalani prosiding pembelaan di hadapan Abd. Halim.

Prosiding tersebut kemudiannya dijalankan pada 16 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Saat manakala tertuduh diwakili peguam, Shah Rizal Abdul Manan dan Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya