SEPANG: Semua penjawat awam yang berurusan secara terus dengan orang ramai terutama di bahagian kaunter perkhidmatan disyaratkan mendapatkan vaksinasi lengkap.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman berkata, ini termasuk mereka yang berada di belakang kaunter dalam usaha memastikan keyakinan orang ramai berada pada tahap tertinggi.
Menurut beliau, syarat sedemikian juga sepadan dengan syarat yang ditetapkan kepada orang awam iaitu perlu vaksinasi lengkap jika mahu berurusan di pejabat kerajaan.
“Kita juga cakap yang berada di belakang kaunter perlu ambil vaksin kerana kita minta yang berada di hadapan (orang awam yang berurusan) divaksin. Tak kan di depan divaksin, yang belakang kaunter tidak divaksin.
“Masuk pejabat kerajaan semua kena vaksin, takkanlah penjawat awam tidak divaksin? Jadi kita minta ketua jabatan urus yang mana tidak divaksin ini dengan cara tersendiri. Ada yang kita pindahkan ke tempat lain,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah memberikan kuasa kepada ketua-ketua jabatan untuk mengambil tindakan sewajarnya jika ada dalam kalangan kakitangan mereka enggan menerima vaksin Covid-19.
Bagaimanapun, Mohd. Khairul Adib berkata, jumlah golongan yang enggan divaksin itu adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan saiz perkhidmatan yang ada, malah beliau tidak mahu bilangan kecil itu mengalihkan tumpuan untuk memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas dan dapat dicapai oleh semua pihak.
Dalam persidangan rakyat baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad memberitahu, sebanyak 28,000 kakitangan awam yang enggan divaksin Covid-19 sudah diberikan surat tunjuk sebab sebagai salah satu daripada proses sebelum tindakan selanjutnya dikenakan terhadap kakitangan terbabit.
JPA sebelum ini mengeluarkan pekeliling untuk mengenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan kepada penjawat awam yang ingkar selepas 1 November lalu.
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 yang dikeluarkan pada 18 Oktober lalu jelas menyatakan, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas tarikh itu boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.
Sementara itu, berhubung pemerkasaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam, Mohd. Khairul Adib berkata, setiap kementerian diminta melantik Munsyi Bahasa sejak tahun lepas berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan.
Katanya, pada masa ini sektor awam mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sejajar dengan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan (Akta 32).
“Pada tahun lalu, kita mengingatkan semula kepentingan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan,” katanya. – UTUSAN