PUTRAJAYA: Pengusaha bengkel kenderaan diingatkan tidak mengambil kesempatan dan mengenakan harga yang melampau ke atas pembaikan kenderaan selepas musim banjir ini.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, pengusaha bengkel yang mengambil kesempatan boleh disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme untuk menentukan keuntungan tinggi yang tidak munasabah) 2018.
“Semua pengusaha bengkel perlu mematuhi Peraturan-Peraturan Pelindungan Pengguna (Pendedahan Maklumat Bengkel) 2002, Akta Perlindungan Pengguna 1999.
“Pemantauan ke atas premis-premis perniagaan kenderaan bermotor akan dipertingkatkan bagi memastikan hak pengguna dilindungi. Sepanjang tahun ini, sebanyak 76 kes melibatkan nilai kompaun RM21,250 susulan 570 pemeriksaan di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata, pemilik kenderaan dinasihatkan berhati-hati dan mendapatkan sebut harga secara bertulis berkaitan jangkaan pembaikan kenderaan daripada peniaga.
“Bagi kenderaan yang masih di dalam waranti, pengguna disarankan untuk mendapatkan perkhidmatan pembaikan di pusat servis kenderaan yang berkaitan.
“Sekiranya pemilik kenderaan yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berhubung perkara ini boleh melaporkan kepada pihak KPDNHEP melalui saluran aduan seperti whatsapp 0192794317; portal aduan, e-aduan.kpdnhep.gov.my; pusat panggilan, 1-800-886-800; Ez ADU KPDNHEP; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau emel, emel, [email protected],” katanya.
Utusan Online semalam melaporkan, Pengerusi Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), Antony Lee Fook Weng berkata, pihaknya sedang membuat pengecualian tertentu bagi menyegerakan penyelesaian tuntutan yang dibuat oleh mereka yang terkesan akibat banjir.
“Pengecualian itu termasuk mengetepikan keperluan laporan polis, menubuhkan talian hotline tambahan dan menyediakan pelaras kerugian di tempat kejadian.
“Pemegang polisi juga dinasihatkan untuk menyemak semula perlindungan mereka kerana perlindungan banjir adalah pilihan di bawah polisi kebakaran dan kenderaan motor standard,” katanya.
Selain itu, PIAM dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama memberi jaminan bahawa syarikat insurans dan takaful akan mempercepatkan proses tuntutan bagi pemegang polisi yang diinsuranskan terhadap kerosakan banjir.
“Pertimbangan khas akan diberikan bergantung kepada kes. Pemegang polisi atau sijil dinasihatkan supaya menghubungi pengendali takaful masing-masing untuk mendapatkan nasihat lanjut tentang skop perlindungan, terma dan syarat termasuk langkah pelepasan yang diberikan oleh pengendali takaful,” katanya.