Pengorbanan kami dibalas dengan cercaan - Luahan anggota bomba - Utusan Malaysia

Pengorbanan kami dibalas dengan cercaan – Luahan anggota bomba

GAMBAR anggota bomba menyelamat mangsa yang dikongsi Muhammad Akmal
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kami sedaya upaya membantu mengeluarkan mangsa banjir, dengan segala apa yang kami ada. Kalau tiada bot, kami guna sampan. Kalau tiada sampan, kami sanggup dukung dan pikul mangsa sehingga ke tempat selamat. Kami tiada masa untuk merakam video atau mengambil gambar ketika bekerja kerana kami sememangnya tiada masa untuk berbuat demikian,”.

Itu luahan Pegawai Operasi Zon 4 Selangor (Hulu Langat) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Akmal Mohamad Khairi terhadap segelintir dakwaan orang ramai yang mempersoalkan bantuan lambat tiba semasa banjir melanda kawasan itu.

Mohamad Akmal menerusi laman Facebook miliknya berkata, anggota bomba bertugas mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan KPI yang ditetapkan iaitu mementingkan keselamatan dahulu selain tiak boleh melakukan sebarangan tugas menyelamat tanpa ambil kira soal risiko pada diri sendiri mahupun rakan sepasukan.

Ujarnya, bencana yang berlaku ada kalanya sangat luar biasa hingga membataskan anggota melakukan kerja menyelamat mangsa ditambah lagi dengan kekangan ketika bertugas.

“Kami bertugas dengan anggaran tujuh hingga 12 anggota di setiap balai bagi satu syif. Apabila ada panggilan kecemasan banjir, kami semua akan bergegas ke lokasi panggilan yang pertama dahulu.

“Cukup sedih bila ada yang sewenangnya melemparkan tohmahan dan cacian kepada kami hanya kerana geram kami lambat tiba atau langsung tidak kunjung tiba di tempat anda. Satu pasukan penyelamat terpaksa respon berpuluh malahan beratus panggilan. Dalam masa itu, kami akan utamakan kes yang boleh kami respon bergantung kepada tahap bahaya dan risiko yang bakal kami hadapi.

“Persoalan lagi, bila air naik, apa yang anda lakukan? Mengapa tidak bersiap untuk berpindah? Mengapa tidak turut bersama memberi amaran kepada yang lain untuk berpindah?,” katanya.

Malah, menurut Mohamad Akmal, pihaknya sanggup mengambil risiko tinggi demi menyelamatkan nyawa yang bahaya malah ada kala nyawa mereka ibarat di hujung tanduk.

Ujar beliau, risiko lemas, hanyut, dijangkiti kuman merbahaya dan ditimpa atau dilanggar objek dalam banjir sanggup dihadapi untuk menyelamatkan mangsa banjir.

“Cuma yang berlaku hanyalah terputus bekalan air atau elektrik, atau lapar kerana tiada makanan. Kami bukan petugas penghantar makanan malah bukan pemandu peribadi anda untuk menghantar anda sesuka hati anda. Bahkan, kami sendiri kelaparan, kesejukan dan keletihan mental serta emosi. Tapi demi anda, kami tolak tepi untuk tetap membantu.

“Berbalik kepada anggota yang bekerja 12 jam sehari mengikut shif, apabila berlakunya bencana, kami tidak tamatkan syif dengan balik tepat pada masa. Kami sanggup bekerja lebih masa tanpa mendapat apa-apa bayaran overtime demi keselamatan nyawa dan harta-benda anda.

“Ada kala, apabila kami muncul membantu, tiada langsung sikap menghargai walau dengan ucapan terima kasih. Ada lebih teruk, pengorbanan kami dibalas dengan cercaan lambat, lembab, makan gaji buta dan macam-macam lagi,” katanya.

Mohamad Akmal meminta orang ramai agar memahami batas dan kemampuan anggota bomba malah mereka juga ada hati dan perasaan. 

“Fikirlah dahulu sebelum berkata-kata,” pintanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya