GEORGETOWN: Seorang penghuni lelaki mengalami kecederaan pada beberapa bahagian badan dan sesak nafas selepas kediamannya di Jalan Perak, Jelutong, di sini, terbakar petang ini.
Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 50-an yang belum dikenal pasti identiti itu cedera pada kepala, kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran kira-kira pukul 4.20 petang tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pukul 4.23 petang dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dan Bagan Jermal.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C dengan anggaran kemusnahan 70 peratus dan dapat dikawal pukul 4.47 petang. Kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berdekatan. Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan semasa menyelamatkan diri dan telah diberi rawatan awal oleh unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN ONLINE