Penggunaan jeriji kekal berisiko tinggi ketika kecemasan - Utusan Malaysia

Penggunaan jeriji kekal berisiko tinggi ketika kecemasan

SYED Azman Syed Ghazali (dua dari kanan) melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Poster Bas Perak Transit di Terminal Bas Amanjaya di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kurang 50 peratus pemilik rumah dan bangunan kediaman di negeri ini memasang jeriji mengikut spesifikasi aspek keselamatan seperti disarankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Perak, Syed Azman Syed Ghazali berkata, kebanyakan pemilik memasang jeriji besi kekal yang berisiko tinggi kepada penghuni sekiranya berlaku kecemasan.

“Berdasarkan statistik, kebanyakan mangsa kebakaran terperangkap di dalam rumah akibat jeriji kekal di mana tiada laluan alternatif keluar untuk menyelamatkan diri.

“Kita faham pemasangan jeriji ini bagi aspek keselamatan harta benda untuk mengelakkan kecurian atau rumah diceroboh masuk namun ia juga mestilah mudah dibuka jika berlaku kecemasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Keselamatan Kebakaran Poster Bas Perak Transit di Terminal Bas Amanjaya di sini hari ini.

Menurut beliau, kos pemasangan yang rendah menyebabkan orang ramai memilih memasang jeriji besi kekal pada tingkap dan pintu kediaman masing-masing.

“Walaupun murah, kita perlu fikir dari segi kecemasan terutama ketika berlaku kebakaran kerana pemasangan jeriji itu bukan berulang setiap tahun.

“Apa salahnya kita peruntukkan sedikit wang untuk memasang jeriji yang lebih selamat, bukan untuk keseluruhan rumah tetapi sekurang-kurangnya ada satu atau dua jeriji yang boleh buka. Itu sudah cukup memadai,” katanya.

Tambah beliau, setakat ini tiada peruntukan bagi menguatkuasakan larangan pemasangan jeriji kekal atau tatacara pemasangan jeriji di rumah atau bangunan kediaman.

Katanya, orang ramai yang ingin membuat pemasangan jeriji boleh mendapatkan nasihat daripada pihak bomba bagi memastikan jeriji yang dipasang adalah selamat.

“Saya sarankan orang ramai untuk mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak bomba berkaitan reka bentuk jeriji yang selamat untuk dipasang di rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya