KLANG: Seorang pengetua rumah anak yatim dan miskin dijatuhi hukuman penjara lima tahun sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan pindaan melakukan kekerasan kepada seorang gadis untuk mencabul kehormatannya, tiga tahun lalu.
Majistret, Muhammad Azzam Zainal Abidin bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan hukuman ke atas tertuduh, Wan Abd. Hisham Wan Ahmad Tajuddin, 71, sehingga selesai proses rayuan.
Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan jumlah jaminan sebanyak RM5,000 sebelum ini dinaikkan ke RM12,000 serta pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan sehingga rayuan diselesaikan.
“Mengambil kira keadaan kes dan usia tertuduh serta pihak pendakwaan tiada bantahan untuk peguam bela menangguhkan hukuman, mahkamah membenarkan kesemua hukuman ditangguhkan dengan syarat notis rayuan difailkan segera,” katanya.
Berdasarkan empat pertuduhan pindaan, Wan Abd. Hisham didakwa telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang gadis, 16, dengan cara memegang bahu, menarik rapat, memegang bahu dan belakang badan, menepuk bahagian punggung, mencium dahi dan menyentuh payu dara untuk mencabul kehormatannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di pejabat dan bilik mesyuarat rumah anak yatim dan miskin yang terletak di Jalan Haji Sirat Off Jalan Meru, di sini antara Ogos 2018 hingga Februari 2019.
Dia didakwa telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat, dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara sembilan bulan bagi pertuduhan pindaan pertama, pertuduhan kedua (setahun), pertuduhan ketiga (dua tahun) dan pertuduhan keempat (dua tahun).
Kesemua hukuman penjara itu diarah bermula dari tarikh sabitan dan hukuman penjara bagi pertuduhan kedua, ketiga dan keempat bermula sebaik tamat hukuman penjara pertuduhan sebelumnya.
Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Anis Zulkapli mengemukakan seramai enam saksi pendakwaan manakala peguam bela, Gabriel Susayan dan T. Thirulogeswary menampilkan empat saksi termasuk tertuduh yang memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.
Kes tersebut mula disebut di Mahkamah Majistret pada 7 Januari 2020. – UTUSAN ONLINE