KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat kekal dihukum penjara dua tahun atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX), tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memutuskan demikian selepas menolak rayuan, Yee Kin Sum,30, berhubung sabitan salah dan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Pada 30 September 2020, Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan penjara dua tahun dan didenda RM7,000 selepas didapati bersalah kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian seorang pengawal peribadi, Juhan Sabturani, 36, pada 3.30 pagi, 7 Julai 2018 di Kilometer 10.7 Lebuhraya MEX di sini.
Mahkamah ketika itu turut memerintahkan agar hukuman penjara lelaki terbabit ditambah tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut serta lesen memandunya digantung selama tiga tahun dan butiran kesalahan dinyatakan pada lesen memandu.
Hakim Ahmad Sharir ketika membaca penghakiman ringkasnya menyatakan tiada sebarang kekhilafan dibuat oleh mahkamah terdahulu ketika mensabitkan perayu (Kin Sum) dengan kesalahan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mahkamah mendapati sabitan adalah selamat untuk dikekalkan selain tiada kekhilafan dalam hukuman yang dikenakan oleh Majistret dan tiada alasan untuk mengganggu gugat hukuman.
“Oleh yang demikian rayuan terhadap sabitan dan hukuman ditolak. Keputusan Majistret mengenai sabitan dan hukuman dikekalkan,” kata hakim itu.
Semasa perbicaraan kes itu yang bermula pada 2019, sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan.
Pada 7 Julai 2018, media melaporkan seorang lelaki yang berada di bahagian tempat duduk penumpang belakang maut selepas kereta yang dinaikinya bersama tiga individu lain bertembung dengan sebuah kereta lain yang dipandu secara melawan arus di lorong kanan. – UTUSAN ONLINE