JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri menahan pengarah dan pengurus sebuah kilang penyaduran logam di Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat sini ekoran pencemaran Sungai Selangkah yang bertukar menjadi warna hijau, baru-baru ini.
Pengarah JAS Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, pengarah berusia 50-an dan pengurus berusia 35 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 4 petang, semalam.
“Dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 37C Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap Orang Yang Disyaki untuk siasatan lanjut dan tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Seksyen 25 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya,” katanya di sini hari ini.
Pada 29 November lalu, pemeriksaan dijalankan JAS Cawangan Pasir Gudang terhadap sungai berkenaan mendapati terdapat pelepasan efluen berwarna hijau daripada longkang kilang berkenaan.
Tambah Mohd. Famey, siasatan di dalam kawasan sistem rawatan efluen di kilang terbabit mendapati berlaku situasi banjir dengan air berwarna hijau.
“Justeru, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) telah dikenakan untuk menghentikan punca air berwarna hijau itu dan pihak kilang diarahkan mengambil tindakan pembaikan dan pembersihan sewajarnya.
“Persampelan efluen juga telah dijalankan dan sampel yang diambil telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” jelasnya.