Penganjur 'Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi' fail saman kepada kerajaan, PDRM  - Utusan Malaysia

Penganjur ‘Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi’ fail saman kepada kerajaan, PDRM 

SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) menganjur perhimpunan Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi, di Dataran Merdeka, 19 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang sebelum ini menganjur perhimpunan Malam Belasungkawa Jiwa-Jiwa Yang Telah Pergi di Dataran Merdeka, memfailkan saman pemula kepada kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.  

Jurucakapnya, Asraf Sharafi berkata, tindakan saman berkenaan kerana pihak berkuasa didakwa menangkap 16 anak muda yang bersolidariti pada 19 Ogos lalu secara salah dan melakukan serangan tidak wajar terhadap mereka. 

Katanya, pihak berkuasa juga didakwa melanggar hak-hak mereka seperti diperuntukkan dalam Perkara 5, 8, 9 dan 10 Perlembagaan Persekutuan selain melanggar tanggungjawab berkanun dan salah laku jawatan sebagai penjawat awam. 

“Saya sendiri melihat bagaimana peserta diheret, ditengking dan didera oleh pihak polis malam itu. Ini bukan ciri negara demokratik dan kerajaan yang ‘prihatin’. 

“Malah, peringatan itu adalah cerminan derita rakyat di luar sana, tetapi, tindak balas kerajaan bukanlah untuk memahami dan menyelesaikan masalah rakyat tetapi mendiamkan tangisan mereka,” katanya semasa sidang akhbar secara maya hari ini.  

Pada 19 Ogos lalu, polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM62,000 terhadap 31 ahli SSR kerana menganjur dan menyertai perhimpunan yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana berhimpun bermula pukul 8 malam.

Kompaun itu dikenakan Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan mengikut Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit PPN (No 2) 2021. 

Dalam pada itu, kata Asraf, kejadian pada malam itu sangat  memalukan dan tidak sewajarnya terjadi memandangkan peserta terlibat hanya mengenang rakan-rakan, ahli keluar dan rakyat negara ini yang telah menjadi mangsa pandemik Covid-19. 

“Kami hanya menyalakan lilin, membaca puisi dan meletakkan bunga ros sebagai simbolik, namun telah dilayan dengan kasar, malah peserta diletakkan dalam keadaan tidak selamat dengan terpaksa duduk berhimpit di tempat tertutup,” katanya. 

Sementara itu, peguamnya, New Sin Yew berkata, kes tersebut amat penting dibawa ke mahkamah kerana ia adalah cerminan kepada doktrin pembahagian kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan. 

“Kekhilafan dan salah laku mereka yang berkuasa harus disemak dan diimbang. Tingkah laku polis pada malam itu menunjukkan salah guna kuasa yang ketara dan pengabaian hak asasi setiap rakyat Malaysia yang sedia ada dalam Perlembagaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya