KLANG: Seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh warga emas yang mahu menunaikan solat Jumaat minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Shahrul Shamsudin, 33, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret P. Sarulatha.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shahrul didakwa membunuh hingga menyebabkan kematian Mohd. Sani Abdullah, 69, di hadapan sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang pukul 12.38 tengah hari, 10 Disember lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.
Peguam K. Nathiya yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dirujuk ke hospital kerana didakwa mempunyai masalah psikiatri dan tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli.
Sarulatha kemudian membenarkan permohonan pihak pembelaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari depan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan hasrat seorang kontraktor warga emas untuk menunaikan solat Jumaat bertukar tragedi apabila dia maut ditikam di hadapan rumahnya di Kampung Idaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di anggota badan.
Kecekapan polis berjaya memberkas dua suspek masing-masing berusia 33 tahun dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan tersebut dalam tempoh kurang empat jam di sekitar Klang dan Shah Alam.-UTUSAN ONLINE