PETALING JAYA: Tan Cheng Hoe menyatakan faktor pengalaman dapat memberi kelebihan kepada skuad Harimau Malaya dalam misi wajib menang ke atas Indonesia dalam aksi hidup mati di Piala AFF, Ahad ini.
Pengendali skuad kebangsaan itu berkata, beliau bagaimanapun tidak memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Shin Tae-yong, Indonesia terutama selepas mereka berjaya mengikat juara bertahan, Vietnam malam kelmarin.
Jelas Cheng Hoe, Indonesia yang rata-rata dibarisi pemain muda mempunyai kualiti dan kekuatan mental, namun tidak kepada pengalaman.
“Selepas melihat perlawanan itu, Indonesia bermain secara bertahan kerana mereka merancang untuk mendapatkan satu mata.
“Mereka berdisiplin dan berdasarkan dua atau tiga perlawanan lalu, kita boleh lihat kekuatan mental mereka malah kecergasan pemain juga cukup baik kerana mereka miliki persiapan rapi.
“Kekuatan Indonesia adalah keyakinan dikalangan pemain muda. Mereka menggunakan kepantasan namun daripada segi pengalaman, mereka mungkin sedikit,” kata Cheng Hoe.
Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga kumpulan B dengan mengumpul enam mata, manakala Indonesia dan Vietnam berkongsi tujuh mata.
“Inilah cabarannya sekiranya mahu pergi lebih jauh. Kami perlu hadapi situasi ini dan turun ke padang dengan minda yang positif.
“Kita perlu bersedia daripada segi taktikal, kebolehan dan cuba bijak menyesuaikan diri dalam segala situasi. Kali ini keputusan lebih penting daripada permainan yang cantik,” katanya.