POKOK SENA: Pengadu yang mendakwa peniaga menjual sekeping roti canai kosong berharga RM4 di sebuah gerai di Langkawi, belum tampil membuat aduan rasmi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kedah, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pihaknya juga sudah menghantar anggota ke lokasi yang diperkata dalam dakwaan itu di Kuah, namun gagal mengesan gerai berkenaan.
Selain itu, katanya, mereka turut mengambil keterangan daripada Persatuan Pengguna Kedah untuk mengesan premis berkenaan sebelum ini.
“Siasatan awal mendapati, aduan ini hanya diambil daripada ‘hear and say’ iaitu cakap-cakap orang dan tiada bukti ditemukan seperti resit atau lokasi sebenar premis.
“Kita sudah menyeru agar pengadu ini tampil membuat aduan secara rasmi bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut diambil namun sehingga kini tiada sesiapa yang muncul,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, pihaknya memandang serius aduan kenaikan harga barang dan makanan yang tidak munasabah seperti itu yang dikhuatiri membebankan rakyat.
“Seperti kes hidangan seekor ikan siakap yang dijual lebih EM1,000 sebelum ini, kita ke Rawang, Selangor untuk mengambil keterangan pengadunya untuk membuka kertas siasatan, jalankan pemeriksaan dan akhir kes tersebut diselesaikan.
“Kita berharap semua pihak mengambil tanggungjawab agar tidak memviralkan sesuatu yang tidak pasti dan tidak mempunyai bukti kukuh agar tidak mencetuskan panik dalam kalangan pengguna,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang pelancong terkejut apabila perlu membayar RM4 untuk sekeping roti canai kosong di sebuah gerai di Pulau Langkawi.
Aduan tersebut dikemukakan kepada Persatuan Pengguna Kedah (Cake) selepas kejadian harga hidangan seekor ikan siakap lebih RM1,000 di pulau tersebut.- UTUSAN ONLINE