ALOR GAJAH: Penjual ayam segar akur dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember ini, meskipun mengakui tertekan dengan perkara itu.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar basah dan premis perniagaan sekitar Kuala Sungai Baru dekat sini mendapati, penjual mematuhi arahan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila menjual ayam segar pada harga RM9.30 sekilogram.
Seorang penjual, Zuzanah Othman, 50, berkata, dia hanya memperoleh keuntungan sebanyak 80 sen berbanding RM1 sekg sebelum ini kerana membeli ayam yang siap diproses pada harga RM8.50 sekilogram dengan pemborong.
Menurutnya, dia juga sukar mendapatkan ayam bersaiz besar yang melebihi dua kilogram ketika ini.
“Saya perlu melalui dua orang tengah untuk mendapatkan bekalan iaitu pemborong dan pihak yang memproses ayam. Semasa ayam sampai kepada saya pun sudah mahal, bagaimana hendak menjualnya pada harga RM9.30 sekilogram?
“Mahu atau tidak saya terpaksa akur dengan arahan kerajaan. Saya berharap isu kenaikan harga ini diatasi segera terutama di peringkat huluan agar kebajikan para peniaga juga diambil kira,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang lagi penjual, Manja Dulan, 49, memberitahu, pelanggan yang datang ke kedainya akan memilih ayam bersaiz kecil dan mengelak membeli dalam kuantiti banyak.
Katanya, saiz potongan juga diminta dikecilkan sedikit berbanding kebiasaan.
“Dulu mereka akan membeli dua ekor ayam tetapi sekarang hanya seekor, itu pun saiz yang lebih kecil. Bagi peniaga pula, jika ayam yang sampai daripada pemborong bersaiz kecil, kami terpaksa menjual melalui kuantiti untuk mendapatkan keuntungan yang diingini.
“Peniaga ayam ketika ini memang tertekan dengan kenaikan harga yang tidak munasabah sehingga tidak boleh balik modal. Kami pun tidak boleh turunkan harga lebih murah kerana akan rugi,” katanya. – UTUSAN ONLINE