PETALING JAYA: Penduduk di Taman Klang Utama, Taman Cempaka Sari dan Bukit Raja yang terjejas dalam kejadian banjir kilat sejak jumaat lalu begitu memerlukan bantuan makanan dan keperluan asas.
Keperluan Asas yang diperlukan termasuk lampin bayi, baju kanak-kanak dan dewasa, pakaian dalam serta makanan.
Maklumat yang diperoleh Utusan Malaysia mendapati, sebahagian penduduk telah berada di tempat pemindahan sementara di kawasan sekolah dan dewan berdekatan namun keadaan agak sesak tanpa sebarang bantuan sepatutnya.
Selain itu ada juga penduduk masih terperangkap di kediaman masing-masing dan berada di tingkat atas kediaman sementara menunggu bantuan makanan dan keperluan asas tiba.
Rata-ratanya memahami masalah akses ke kawasan banjir yang menyumbang kepada kesukaran ke lokasi mangsa dan menjadikan medium media sosial dijadikan sebagai alternatif mereka bagi memohon bantuan orang ramai terutamanya pasukan penyelamat.