Penduduk tahan lapar, sejuk 14 jam - Utusan Malaysia

Penduduk tahan lapar, sejuk 14 jam

SEORANG penduduk Kampung Sungai Serai berjaya dikeluarkan oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam dan dibantu oleh petugas Bulan Sabit Merah menggunakan bot penyelamat ketika banjir di sekitar Hulu Langat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Detik 14 jam menakutkan dalam gelap-gelita tanpa elektrik serta menahan kesejukan.

Itu terpaksa dilalui sepasang suami isteri yang terperangkap dalam banjir di Taman Sri Nan­ding, Hulu Langat di sini.

Penjawat awam yang hanya ingin dikenali sebagai Aishah, 47, berkata, dia serta suami serta tiga anaknya terpaksa me­nunggu bantuan hampir 14 jam sejak rumahnya dinaiki air pada pukul 9 malam kelmarin.

Jelasnya, dia dan keluarga telah bersiap sedia menghadapi banjir dengan memindahkan barangan elektrik dan dokumen penting di tempat lebih tinggi kerana kawasan tersebut memang kerap dilanda bencana tersebut.

“Bagaimanapun, kali ini air naik sangat cepat melebihi paras dada tidak sampai satu jam hingga kami cuba berlindung di surau di sini.

“Malangnya surau turut dinaiki air sehingga hingga paras bumbung dan terpaksa me­nunggu bantuan dalam hujan dan sejuk sepanjang malam,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, mereka di­selamatkan pihak bomba dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) kira-kira pukul 9 pagi.

Seorang lagi mangsa, Kama­lisa Musa, 52, berkata, dia berserah dan reda apabila melihat keadaan rumahnya ditenggelami air hingga paras bumbung.

Katanya, dia bersyukur kerana sempat menyelamatkan diri serta keluarga dengan menumpang di rumah ketua kampung kira-kira 100 meter dari kediamannya.

“Rumah ketua kampung terletak atas bukit dari kediaman lain. Kami fikir nak selamatkan diri sahaja, benda lain saya dan isteri tolak tepi. Harta benda boleh dicari, nyawa hanya satu.

“Ini kejadian terburuk selepas hampir 30 tahun tinggal di sini. Sebelum ini pernah banjir tetap tidak sampai ke bumbung, mungkin berlaku ekoran hujan yang tidak berhenti sejak kelmarin serta air empangan yang dilepaskan,” katanya.

Tambahnya, setakat pukul 1 petang semalam, air surut pada paras pinggang dan diharap akan surut sepenuhnya.

Seorang lagi mangsa, Johan Nef, 29, turut menceritakan detik cemas apabila terpaksa mengusung dua anak kecilnya ke bangunan tinggi apabila air naik hingga paras dada dalam kejadian itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya