Penduduk Sungai Lui terputus bantuan, pek makanan  diagihkan - Utusan Malaysia

Penduduk Sungai Lui terputus bantuan, pek makanan  diagihkan

SKUAD Warga Prihatin LEP dengan kerjasama QSR Brands mengagihkan pek KFC kepada mangsa banjir di sekitar Hulu Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Mangsa-mangsa banjir khususnya di daerah ini yang terkesan teruk akibat bencana itu terus dibantu melalui pengagihan pek makanan.

Misi bantuan itu digerakkan Persatuan Penduduk Gabungan KRT Taman Lestari Putra, Seri Kembangan dan Warga Prihatin dengan kerjasama pihak QSR Brands (M) Holdings Bhd. melalui sumbangan 450 pek KFC.

Pengurus Projek Skuad Warga Prihatin, Norizal Razali berkata, sumbangan berkenaan diagihkan ke enam lokasi iaitu Kampung Gahal dan pusat transit bantuan makanan Batu 14; Maahad Tahfiz Al-Quran Darul Najah, pusat transit bantuan makanan Batu 18 Kampung Jawa, pusat transit bantuan makanan restoran Terra Pong dan Taman Seri Nanding Batu 11.

“Pasukan kami dengan lapan sukarelawan menggunakan dua kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta digunakan bagi memasuki kawasan berkenaan.

“Masih terdapat penduduk Sungai Lui terputus bekalan, hanya mengharapkan bantuan dihantar oleh pihak transit restoran Terra Pong memandangkan ada sekatan jalan untuk ke sana ekoran tebing jalan runtuh dan hanya motosikal boleh melalui jalan tersebut,” katanya di sini semalam.

Norizal berkata, hasil pemantauan turut mendapati, ada kawasan yang belum ada bekalan air manakala bekalan elektrik telah pulih dengan bantuan lori genset.

“Surau, masjid dan dewan awam kebanyakan telah dibersihkan oleh pasukan bomba, Majlis Perbandaran Kajang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Penduduk sudah mula melakukan kerja- kerja pembersihan di rumah sendiri. Kebanyakan penduduk memerlukan dapur gas, tong gas, tilam, bantal serta peralatan mencuci,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Korporat Kumpulan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Shaffique Ahmad Zehnun berkata, hampir 5000 pek KFC dan 2,000 pek Pizza Hut sudah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir bermula Ahad lalu.

Katanya, antara lokasi banjir yang menerima agihan pek makanan itu ialah di sekitar Shah Alam, Klang, Hulu Langat, Chow Kit.

“Kerjasama erat bersama badan-badan sukarelawan tempatan membolehkan pek-pek makanan ini diagihkan dengan segera dan sebagai bantuan makanan kepada mangsa yang terperangkap, ” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya