KUALA LANGAT: Penduduk Kampung Kelanang di sini, berharap sistem perparitan di kawasan kampung mereka ditambah baik bagi memastikan banjir besar tidak berulang di kawasan tersebut.
Seorang penduduk, Yaakob Anwar, 65, berkata jumlah air hujan yang banyak dan air longkang besar sedia ada telah menyebabkan rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter.
“Banjir besar baru-baru menyebabkan rumah saya dinaiki air. Perabot-perabot dan permaidani habis rosak. Biasanya banjir hanya paras buku lali walaupun hujan lebat. Saya berharap parit berhampiran diperbesarkan dengan pemasangan longkang monsun,”katanya semasa meninjau sistem perparitan di sekitar Kampung Kelanang hari ini.
Sementara itu seorang penduduk, Jefridin Ramli, 54, menzahirkan rasa bimbang seandainya banjir besar seperti minggu lalu berlaku sekali lagi.
Katanya, banjir minggu lalu menyebabkan mendapan lumpur semakin tebal dan potensi untuk air naik lebih tinggi adalah berasas jika hujan lebat dengan kapasiti tinggi seperti baru-baru ini.
“Kami bimbang kawasan ini dinaiki air seperti di beberapa kawasan di negeri ini. Sebaiknya parit tanah ini dipasang longkang konkrit bagi memastikan air mengalir dengan lebih lancar,”katanya. – UTUSAN ONLINE