SUNGAI PETANI: Penduduk di daerah ini terutama peminat sukan pemotoran kecewa apabila projek litar lumba di Ambangan Heights, Bandar Aman Jaya di sini yang mula dibina pada 2017 masih terbengkalai sehingga sekarang.
Berdasarkan perancangan awal, projek litar lumba bernilai RM30 juta yang dibangunkan di kawasan seluas 40 hektar dengan dilengkapi trek sepanjang 1.8 kilometer itu dapat disiapkan setahun kemudian.
Bagaimanapun, pembinaan litar lumba tersebut ditangguhkan dengan pelbagai alasan oleh kerajaan negeri walaupun kerja-kerja tapak telah dilaksanakan sebelum ini.
Seorang peminat sukan permotoran, Afka Ahmad, 47, dari Taman Sejahtera Rakyat Fasa 2, Bedong di sini berkata, projek pembinaan litar lumba tersebut sepatutnya disiapkan segera bagi merancakkan sukan permotoran di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, dia kecewa projek itu yang diharap dapat melahirkan bakat-bakat baharu untuk menjadi barisan pelapis dalam sukan permotoran masih gagal disiapkan.
“Kegagalan kerajaan negeri menyiapkan litar lumba itu menimbulkan banyak tanda tanya dalam kalangan rakyat yang mengharapkan projek itu disiapkan awal,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Ahli perniagaan, Ku Nabil Ku Mohamad Fathlulah, 57, dari Taman Keladi di sini berkata, sebuah litar lumba perlu dibangunkan bagi memberi ruang kepada penggemar sukan permotoran beriadah secara sihat.
Malah, katanya, dia difahamkan litar lumba tersebut terbuka kepada orang ramai dengan beberapa syarat yang ditetapkan bagi memberi peluang kepada peminat sukan permotoran beraksi di litar secara selamat.
“Litar lumba tersebut juga dibina untuk tujuan menyelesaikan aktiviti lumba haram dan rempit yang mengancam keselamatan orang ramai,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Halim Osman, 54, dari Ambangan Heights di sini berkata, dia teruja apabila sebuah litar lumba dibina berdekatan di kawasan ini kerana dapat membantu penduduk tempatan menjana ekonomi menerusi peluang pekerjaan dan perniagaan.
“Bagaimanapun di mana silapnya sehingga kini projek itu tidak diteruskan dan yang ada hanya tapak kosong sahaja,” katanya.
Pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 pada November lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberitahu, kerajaan negeri sedia meneruskan projek litar lumba, namun hanya mengikut peruntukan awal yang sedia ada.
Beliau berkata, fasa pertama pembinaan litar lumba berkenaan telah berjalan sebelum ini melibatkan kerja merata tanah dan sebagainya dengan kos sebanyak RM10 juta.-UTUSAN ONLINE