SHAH ALAM: Penduduk di Pangsapuri Indahria di Batu 3, di sini dibenarkan pulang mulai hari ini selepas diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PPSSAAS) pada 19 Disember lalu.
Menurut Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail, penduduk di lebih 200 unit kediaman boleh kembali ke rumah masing-masing selepas keselamatan bangunan pangsapuri itu disahkan oleh Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, penduduk masih belum boleh menggunakan ruangan tempat letak kereta di bahagian belakang pangsapuri tersebut dan hanya boleh menggunakan ruang di bahagian hadapan.
“Bangunan itu disahkan selamat oleh Ikram dan penduduk sudah boleh balik, cuma kawasan parking deck sahaja masih bermasalah, maknanya tak boleh digunakan lagi dekat bahagian belakang.
“Tetapi sekarang selepas disahkan oleh pihak Ikram, kita tiada masalah untuk penduduk pulang semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Rodziah mengesahkan memang terdapat arahan keluar bangunan dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Bangunan berikutan terdapat kebimbangan terhadap struktur tiang pada bahagian tempat letak kereta.
Namun, beliau memberitahu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan ruang letak kereta yang mengalami mendapan itu tidak menjejaskan bangunan kediaman.
“Pada 18 Disember lalu, ketika hujan lebat, kita pantau dekat kawasan tersebut selepas kita dapati air (Sungai Damansara) terlalu deras, kalau kita tahu lokasi Indahria itu berada dilokasi lencongan sungai.
“Tetapi, bila 18 Disember tempoh hari kita pantau, air da di bawah itu, keadaan bawah deck itu memang kosong. Bila masuk air di bawah itu, berlaku beberapa tiang yang kita nampak mula retak, jadi untuk kita tak mahu merisikokan penduduk, terus minta mereka berpindah ke PPS,” jelasnya.
Jelas Rodziah, MBSA yang sudah sedia maklum terhadap masalah tersebut meminta Ikram membuat kajian dan difahamkan pihak berkuasa berkenaan sedang dalam proses untuk memastikan syarikat Shanghai Royalty sebagai pemaju untuk bertangunggjawab terhadap masalah tersebut.