GEORGETOWN: Sekumpulan pemilik pangsapuri Centrio Avenue di Taman Bukit Gambir di sini mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengatasi segera masalah kebocoran bumbung pangsapuri berkenaan yang membelenggu mereka sejak lebih lima tahun lalu.
Mereka turut menyerahkan memorandum tersebut kepada Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam untuk membolehkan suara mereka dibawa ke sidang DUN yang sedang berlangsung ketika ini.
Difahamkan, terdapat sebanyak 14 unit kediaman di tingkat 31 pangsapuri kos sederhana rendah berkenaan yang menghadapi masalah bumbung bocor itu sejak 2015.
Wakil penghuni, G. Sree Kalyana Muruga, 49, berkata, penyerahan memorandum itu diharap dapat membuka mata kerajaan negeri mengenai masalah yang dihadapi mereka.
“Kami mohon kerajaan negeri campur tangan dalam hal ini kerana kediaman ini adalah pangsapuri yang dibangunkan oleh kerajaan negeri yang bekerjasama dengan pemaju.
“Memang ada kontraktor baiki bumbung yang bocor sebelum ini, namun masalah ini akan berulang semula selepas itu, kami bimbang keselamatan ahli keluarga kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan bangunan DUN Pulau Pinang, di sini semalam.
Menurutnya, kali terakhir kontraktor dari Bahagian Perumahan kerajaan negeri datang meninjau masalah berkenaan adalah pada Mac lalu.
“Namun, kami difahamkan disebabkan alat ganti tiada, kontraktor tidak dapat membaiki bumbung yang bocor itu. Kami tidak dapat lagi bersabar kerana masalah ini semakin teruk memandangkan sekarang musim hujan,” katanya.
Seorang lagi penghuni, Lau Fok Wen, 71, berkata, dia kecewa apabila unit kediamannya tidak dapat diduduki atau disewa kerana masalah bumbung yang bocor itu.
“Kami berharap kerajaan negeri membantu kami, masalah ini telah lebih lima tahun berlaku, jangan sampai ada penghuni yang cedera berpunca daripada bumbung bocor ini,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzi berkata, masalah penghuni pangsapuri itu akan dibawa ke Sidang DUN Pulau Pinang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah.
“Masalah ini perlu segera diatasi memandangkan melibatkan nyawa penghuni, kami di blok pembangkang akan cuba membawa isu ini dalam sidang DUN sama ada hari ini atau esok ketika perbahasan,” katanya. – UTUSAN ONLINE