GEORGETOWN: Lebih 30 penduduk di Gat Lebuh Maccalum, Sungai Pinang di sini mengadakan bantahan aman hari ini bagi mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalihkan segera menara telekomunikasi yang dibina berhampiran kawasan kejiranan mereka.
Selain dibina pada jarak kurang 100 meter dari blok kediaman penduduk, menara telekomunikasi setinggi kira-kira 50 meter itu juga dididirikan di dalam kawasan taman rekreasi yang menjadi tumpuan penduduk setempat untuk beriadah setiap hari.
Wakil penduduk, Goh Yun Fung, 67, berkata, mereka terkejut mendapati menara telekomunikasi itu secara tiba-tiba didirikan hanya dalam tempoh setengah hari di kawasan berkenaan, kira-kira seminggu lalu.
Apa yang dikesalkan, katanya, penduduk langsung tidak dimaklumkan mengenai pembinaan menara tersebut oleh pihak berwajib sedangkan projek itu boleh memberi kesan dari sudut kesihatan kepada lebih 10,000 penduduk yang tinggal di kawasan kejiranan berkenaan.
“Kami membantah pembinaan menara komunikasi ini kerana bimbang kesan negatif radiasi terhadap kesihatan penduduk di sini terutama di blok-blok perumahan berdekatan yang rata-ratanya didiami warga emas.
“Lokasi menara ini juga tidak sesuai kerana dibina bersebelahan taman rekreasi yang menjadi tumpuan warga emas dan kanak-kanak untuk beriadah setiap hari,” katanya selepas menyertai demonstrasi aman itu yang turut dihadiri Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong.
Menurut Yun Fung, penduduk telah menyuarakan bantahan itu kepada wakil rakyat di kawasan berkenaan namun diminta mengisi borang yang memerlukan mereka menyatakan alasan dan menunjukkan bukti mempunyai masalah kesihatan.
Tambahnya, tindakan seperti itu menyusahkan penduduk yang kebanyakannya warga emas sedangkan pihak berwajib sepatutnya terlebih dahulu bertemu dan mendapatkan pandangan penduduk sebelum mendirikan menara tersebut.
Dalam pada itu, Tong Keong mendesak kerajaan negeri mendengar keluhan penduduk terbabit yang bimbang terhadap risiko kesihatan mereka dan mengalihkan segera menara telekomunikasi tersebut ke lokasi yang jauh dari penempatan penduduk.
Katanya, pihaknya dengan kerjasama penduduk di situ kini sedang mengumpul tandatangan bagi membantah pembinaan menara tersebut sebelum satu petisyen diserahkan kepada wakil rakyat kawasan berkenaan dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
“Kita memberi tempoh selama seminggu kepada kerajaan negeri selepas petisyen itu diserahkan untuk mengalihkan menara telekomunikasi ini dan sekiranya tiada sebarang tindakan diambil, kita akan membawa isu ini ke pengetahuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya. – UTUSAN ONLINE