Pendidikan awal sekat budaya buli - Utusan Malaysia

Pendidikan awal sekat budaya buli

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendidikan awal mengenai perlindungan diri perlu diterapkan kepada kanak-kanak bagi mengekang masalah buli dan mengikis budaya tersebut yang sudah tertanam dalam kehidupan harian serta sistem pendidikan negara.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, ilmu pembinaan karakter dan perlindungan diri dapat membina sahsiah kanak-kanak yang baik.

Katanya, pembuli akan terus wujud dalam ekosistem kehidupan masyarakat sama ada di sekolah mahupun tempat kerja, namun pendidikan itu memberi kesedaran bukan sahaja kepada pelajar tetapi orang sekeliling.

“Pembuli wujud di seluruh dunia, bukan negara kita sahaja. Tetapi di negara seperti Australia mereka menyediakan pendidikan moral pada usia awal, anak-anak di sana tahu akan apa yang tak boleh dan apa yang tak boleh. Mereka memahami sejak kecil.

“Pendidikan tersebut bukan sahaja mengenai moral dan sahsiah diri malah perlu menyediakan pendidikan mengenai perlindungan daripada pelbagai gangguan serta jenayah seperti gangguan seksual,” katanya semasa dihubungi oleh Utusan Malaysia.

Baru-baru ini tular satu klip video yang memaparkan sekumpulan pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar, Perak dalam aksi menumbuk dan menendang seorang pelajar lain.

Siasatan polis berhubung kejadian itu mendapati mangsa diperlakukan sedemikian selepas didakwa menegur kumpulan pembuli itu yang menonton video lucah.

Berikutan kejadian itu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) membuat keputusan menamatkan pengajian 10 pelajar terbabit berkuat kuasa kelmarin.

Kementerian Pendidikan (KPM) pula akan mengenakan tindakan tegas ke atas sekolah atau pentadbirannya jika mereka didapati menyembunyikan kejadian buli di sekolah terbabit.

Sementara itu, pakar psikologi di Universiti SEGi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Noor berkata, pembuli bukan hanya lahir daripada keluarga porak peranda tetapi daripada keluarga yang memberi kemewahan namun tidak menegur sahsiah diri anak mereka.

Jelas beliau, sikap membuli lahir melalui dua faktor iaitu luaran dan dalaman individu yang ingin menunjukkan diri mereka berkuasa atau meraih perhatian bagi menyelesaikan perasaan tidak puas hati.

“Perlu ada pemantauan rapi dan tindakan susulan yang sepatutnya jika tidak mahu personaliti pembuli terus kekal sehingga menjadi tabiat, lalu menyebabkan masalah ini berlarutan sampai bila-bila. Ia perlu dikekang.

“Jangan sorok kes seperti ini, mangsa akan menghadapi masalah psikologi jika kita tak bantu mereka. Mangsa akan berubah  personaliti menjadi pendiam dan tidak percaya pada sesiapa serta tidak tahu bersosial sehingga menyebabkannya depresi,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya