KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini dicadang agar mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor secara hibrid jika status MySejahteranya masih berwarna jingga yang menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan Covid-19.
Cadangan itu dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas perbicaraan isteri bekas Perdana Menteri itu ditangguhkan lagi untuk kali ketiga hari ini atas faktor yang sama.
Jelas beliau, status MySejahtera Rosmah yang masih berwarna jingga menyebabkan pihak pendakwaan berada dalam keadaan yang sukar.
Minggu lalu, Sri Ram menyatakan, jika kod warna MySejahtera Rosmah masih berwarna jingga, mahkamah boleh mempertimbang agar perbicaraan diteruskan secara dalam talian.
Rosmah dicadang menyambung keterangan bela diri daripada pejabat peguamnya atau rumah di bawah pengawasan pihak mahkamah, pembelaan dan pendakwaan.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian meminta pandangan pihak pembelaan berhubung cadangan tersebut.
Peguam Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah ketika mengesahkan status MySejahtera anak guamnya itu masih belum bertukar kepada biru berpendapat, pihaknya lebih selesa perbicaraan dijalankan dengan kehadiran semua pihak di mahkamah terbuka.
Hakim Mohamed Zaini kemudian memaklumkan, perbicaraan perlu diselesaikan dan pada masa yang sama pihaknya akan menimbangkan sama ada prosiding boleh dijalankan secara hibrid berdasarkan peruntukan undang-undang berkaitan supaya prosiding tidak lagi tertangguh.
Minggu lalu, beliau menarik perhatian mahkamah bahawa pada peringkat ini, pihaknya memilih untuk mengambil pendekatan secara berhati-hati bagi mengelakkan perbicaraan terkeluar daripada landasan yang sepatutnya.
“Sekiranya ia boleh dilakukan, mahkamah akan memaklumkan kedua-dua pihak lebih awal. Ia hanya akan dilakukan sekiranya status MySejahtera Rosmah kekal selain warna biru. Namun jika ia berubah kepada biru, semuanya akan kembali kepada asal,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 23 dan 24 Disember ini untuk menyambung perbicaraan.
Ketika kes disebut di hadapan Hakim Mohamed Zaini, Rosmah menunggu dalam kereta di pekarangan mahkamah kerana peraturan keselamatan hanya membenarkan kod MySejahtera berwarna biru memasuki bangunan itu.
Minggu lalu, perbicaraan ditangguhkan sebanyak dua kali atas faktor yang sama yang menunjukkan beliau mempunyai kontak rapat dengan Covid-19.
Rosmah sepatutya menyambung keterangan bela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar hibrid di sekolah luar bandar di Sarawak.
Pihak pembelaan akan memanggil dua lagi saksi iaitu Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang ketika itu merupakan pegawai kanan di Bahagian First Lady Of Malaysia (FLOM) dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada perbicaraan lalu, mahkamah membenarkan pernyataan Rosmah yang dirakam ketika siasatan kes pengubahan wang haram, digunakan untuk mencabar kredibiliti beliau pada perbicaraan kes rasuah projek solar.
Hakim Mohamed Zaini membenarkan pihak pendakwaan mencabar kredibiliti isteri bekas Perdana Menteri dan menyoal balas berhubung karektor Rosmah di bawah Seksyen 54 Akta Keterangan.
Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.
Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.
Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini di antara bulan Januari dan April 2016.