PUTRAJAYA: Polis mengesahkan pemilik kilang jentera sudah dipanggil semalam bagi memberi keterangan berhubung kejadian pencemaran bau diesel yang dikesan di Sungai Semenyih.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, tindakan itu dilakukan susulan aduan dibuat oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), pagi semalam.
Beliau berkata, kes berkenaan kini di siasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan perbuatan khianat.
“Siasatan awal di dua premis semalam mendapati, tiada sebarang efluen yang dilepaskan dari premis berkenaan namun, terdapat satu aliran bawah tanah yang disyaki mengeluarkan sisa buangan seakan-akan minyak.
“Siasatan itu dilakukan oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pasukan Khas Lembangan Dan Alur Air (PAKAR).
“Pasukan sama turut mengambil lima sampel air di laluan sebagaimana yang dinyatakan pengadu di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Jenderam Hilir Dengkil,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, sampel turut di ambil dari dalam premis kilang yang disyaki sebelum dihantar ke Jabatan Kimia untuk tindakan lanjut.
Wan Kamarul Azran berkata, ketika disoal siasat, pemilik kilang turut mendakwa mempunyai penapis dan merawat apa-apa sisa buangan yang masuk ke dalam parit di luar premis.
Sebelum ini, Air Selangor memaklumkan mengenai pencemaran bau abnormal pada kadar 5 ton yang dikesan di Muka Sauk LRA Sungai Semenyih, Jenderam Hilir, Dengkil.
Keadaan itu menyebabkan LRA berkenaan terpaksa terpaksa dihenti tugas pada pukul 9 pagi semalam.
Berikutan henti tugas LRA Sungai Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. -UTUSAN ONLINE