Pencari emas maut tertimbus dalam runtuhan di lombong - Utusan Malaysia

Pencari emas maut tertimbus dalam runtuhan di lombong

PASUKAN penyelamat mengeluarkan mayat Mohd. Johari Mohd. Asri, 34, yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan emas di Kampung Air Sejuk di Setiu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Seorang pencari emas maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di kawasan perlombongan di Kampung Air Sejuk di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa yang terlibat ialah Mohd. Johari Mohd. Asri, 34, dari Jalan Gong Batu Gajah, Guntung Dalam di daerah sama.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Afandi Hussin berkata, mangsa yang bekerja kampung dikatakan berada di dalam lubang di kawasan perlombongan emas milik persendirian itu bersama bapanya.

Katanya, insiden berkenaan dimaklumkan oleh bapanya dan usaha mengeluarkan mangsa terpaksa dilakukan dengan bantuan jentolak berikutan struktur tanah liat serta berpasir yang mudah runtuh.

“Ketika kejadian cuaca mendung dan hujan lebat sekejap-sekejap yang menyebabkan tanah di kawasan itu lembut hingga berlaku runtuhan.

“Mangsa ditemukan pada pukul 7 malam dan mayatnya berjaya dikeluarkan setengah jam kemudian sebelum dihantar ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Afandi berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dalam perkembangan sama katanya, kerja-kerja melombong tidak sesuai dilakukan pada musim tengkujuh ini berikutan hujan berterusan sejak semalam.

“Saya minta orang ramai dapatkan nasihat daripada pihak berkenaan terlebih dahulu jika mahu melombong emas dan sebagainya. Pastikan langkah-langkah keselamatan diambil dalam melakukan kerja-kerja itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya