Pemuda UMNO, Skuad Sabil Kebangsaan bantu mangsa banjir - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO, Skuad Sabil Kebangsaan bantu mangsa banjir

SYED MOHD. JOHAN RIZAL SYED UNAN MASHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Skuad Sabil Kebangsaan menggerakkan sukarelawan membantu mangsa banjir di Kuala Lumpur dan Selangor sejak hari pertama musibah itu melanda.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, anggota sukarelawan terlibat telah digerakkan membantu menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terkandas serta menghantar bantuan makanan dan minuman.

Menurutnya, sukarelawan Pemuda UMNO dan Skuad Sabil Kebangsaan itu bukan sahaja membabitkan ahli-ahli di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, malah di beberapa negeri berjiran turut serta menjadi kumpulan sokongan dan membantu.

“Sukarelawan Pemuda UMNO menjalankan tugas-tugas tersebut di kawasan yang teruk terjejas bagi meringankan beban mangsa banjir berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikeluarkan hari ini, seramai 43,392 mangsa banjir daripada 13,153 keluarga yang kini berada di 407 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan ketara berbanding petang semalam iaitu 343 PPS dibuka membabitkan seramai 30,569 daripada 9,572 keluarga yang terkesan.

Syed Mohd. Johan Rizal memberitahu, sukarelawan Pemuda UMNO dan Skuad Sabil Kebangsaan juga tidak ketinggalan menjalankan tugas membantu mangsa banjir di beberapa negeri yang turut terjejas.

“Pemuda UMNO terharu dengan semangat kental yang ditunjukkan oleh sukarelawannya dan Skuad Sabil Kebangsaan dalam menjalankan tugas-tugas membantu mangsa banjir,” ujarnya.

Pada masa sama, Syed Mohd. Johan Rizal berkata, pihaknya turut mengharapkan lebih banyak pihak tampil untuk memberi sumbangan barangan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir terjejas.

“Antara jenis barangan keperluan yang diperlukan mangsa banjir adalah makanan siap masak, makanan segera, air minuman, lampin, susu kanak-kanak, lilin, barangan mandian dan pad wanita,” katanya.

Tambahnya, Pemuda UMNO di negeri-negeri juga diarahkan supaya bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi kemungkinan turut berlaku banjir dalam tempoh terdekat ini.

Ini kerana, jelasnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan ramalan berlaku beberapa siri hujan lebat di beberapa negeri pada bulan ini. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya