Pemuda sempat cuci kudis ibu sebelum hilang dibawa arus deras - Utusan Malaysia

Pemuda sempat cuci kudis ibu sebelum hilang dibawa arus deras

AHLI keluarga Mohd. Halmi Nazlan yang hanyut dibawa arus deras menunggu di lokasi kejadian di Kampung Chempaka, di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pemuda yang dikhuatiri lemas selepas kereta dinaiki hanyut dibawa arus deras dalam kejadian di Kampung Chempaka, di sini sempat mencuci kudis serta memakaikan stokin di kaki ibunya.

Ibunya, Rahimah Abdullah, 59, berkata, selesai berbuat demikian, Mohd. Halmi Nazlan, 34, memberitahu mahu pergi ke Kampung Seri Damai di sini untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

“Bapanya (Nazlan Hassan, 62) ada menghubunginya dan menyuruhnya pulang segera kerana kawasan rumah kami mula dinaiki air selain turut menasihatinya supaya berhati-hati kerana Seri Damai juga dinaiki air.

“Kali terakhir bapanya berhubung dengannya melalui WhatsApp kira-kira pukul 7 pagi tadi dan selepas itu kami gagal menghubunginya sebelum bapa kepada rakannya itu datang ke rumah memaklumkan kejadian ini,” katanya yang di Kampung Kuala Pahang di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, kereta Proton Exora yang dinaiki Mohd. Halmi bersama seorang rakannya hanyut dibawa arus deras ketika melalui jambatan di sungai kampung terbabit.

Rakannya, Muhammad Amirul, 23, berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sebaliknya mangsa hilang dibawa arus.

Rahimah berkata, Mohd. Halmi adalah anak kedua daripada lima beradik dan dia seorang yang sentiasa boleh diharapkan terutamanya ketika di rumah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamerul Bieza Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tentang kejadian itu kira-kira pukul 12.18 tengah hari.

“Sepasukan anggota bomba dengan kekuatan seramai 12 orang bersama sebuah bot menyelamat bergegas ke lokasi kejadian dan ketika tiba di lokasi didapati memang ada sebuah kereta dihanyutkan arus deras.

“Seorang mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dilakukan.

“Kami ingin menasihati orang ramai terutamanya pengguna jalan raya supaya berhati-hati jika mengharungi kawasan banjir kerana ada kemungkinan bahaya selain memastikan tiada arus deras yang boleh menghanyutkan kenderaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya