Peminjam boleh mohon moratorium, pengecualian faedah, ansuran pinjaman - Utusan Malaysia

Peminjam boleh mohon moratorium, pengecualian faedah, ansuran pinjaman

PEMINJAM institusi kewangan dari golongan B50 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh memperoleh manfaat pengecualian faedah pinjaman untuk tempoh tiga bulan. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peminjam institusi kewangan dari golongan B50 yang terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh memperoleh manfaat pengecualian faedah pinjaman untuk tempoh tiga bulan di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka juga boleh memohon penangguhan bayaran pinjaman atau moratorium serta pilihan lain termasuk pengurangan ansuran untuk tempoh sehingga dua tahun bagi membantu mengurus hutang keseluruhan selaras dengan kemampuan peminjam.

Menurut beliau, mana-mana peminjam yang layak dan berhasrat untuk memohon kemudahan di bawah URUS boleh berhubung dengan bank masing-masing sebelum 31 Januari  2022.

Beliau berkata, antara manfaat lain di bawah program itu sebagaimana diumumkan pada 13 Oktober lalu ialah sokongan pembangunan, pendidikan dan khidmat nasihat untuk membantu  mengurus kewangan agar lebih berdaya tahan termasuk peluang menambah pendapatan dan mendapat sokongan lain.

“Peminjam juga akan diberikan bantuan secara menyeluruh termasuk pelan kewangan peribadi yang disesuaikan berdasarkan kemampuan kewangan masing-masing, mengambil kira semua jenis pinjaman dengan institusi perbankan di bawah nama mereka.

“Ini bagi memastikan bantuan jangka panjang yang lebih bermakna kepada peminjam yang memerlukan untuk memulihkan keadaan kewangan mereka sejajar dengan pemulihan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan juga mengambil maklum bahawa sektor perbankan telah  melaksanakan URUS secara telus dan adil bagi membantu peminjam B50 yang mempunyai pendapatan isi rumah sehingga RM5,880 serta kehilangan pekerjaan atau kehilangan pendapatan melebihi 50 peratus daripada pendapatan isi rumah akibat pandemik.

Kata beliau, syarat-syarat lain adalah pinjaman atau pembiayaan telah pun berada di bawah  program bantuan bayaran balik sedia ada pada 30 September lalu dan peminjam mempunyai rekod pinjaman berbayar.

Beliau menjelaskan, selain daripada program URUS, peminjam masih boleh mendapatkan  bantuan lain daripada bank masing-masing yang sesuai dengan keperluan dan keadaan kewangan mereka.

“Selain itu, kata Perdana Menteri, bagi pengusaha mikro pula, RM1.8 bilion telah diperuntukkan  melalui TEKUN Nasional, Bank Simpanan Nasional dan Agrobank yang  memberi pembiayaan pada kadar kosong peratus selama sekurang kurangnya enam bulan; bagi saiz pinjaman sehingga RM75,000; dan moratorium segera di antara 6 hingga 12 bulan, tertakluk kepada terma dan syarat,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bank-bank diminta supaya terus membantu peminjam-peminjam yang menghadapi kesulitan kewangan untuk membayar semua pinjaman  mereka dan menangguhkan tindakan undang-undang terhadap peminjam yang gagal membayar balik hutang.

Katanya, peminjam yang masih memerlukan bantuan disarankan untuk segera menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pilihan penstrukturan dan penjadualan semula yang bersesuaian.

Beliau berkata, walaupun kadar muflis telah berkurangan sebanyak 50 peratus selepas sektor  ekonomi mula dibuka secara berperingkat sejak Oktober lalu, namun ekonomi Malaysia akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya.

“Sehubungan itu, peminjam yang baharu atau masih sukar mendapat pekerjaan, terutamanya golongan B50, wajar disokong sebaik mungkin sehingga mereka  mampu berdiri teguh semula bagi memastikan kelangsungan hidup.

“Dalam masa sama, kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia juga meningkatkan nilai ambang kebankrapan kepada RM100,000 untuk memberi perlindungan kepada mereka yang mungkin masih tidak dapat bertahan dari segi kewangan akibat kesan pandemik.

“Peruntukan ini dibuat berdasarkan Akta Insolvensi (1967), dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (2020),” katanya.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil maklum bahawa masih ramai rakyat, terutamanya di dalam golongan B40, yang masih memerlukan sokongan sebagaimana di bawah Bajet 2022 merangkumi peruntukan sebanyak RM8.2 bilion bagi Bantuan Keluarga  Malaysia; RM2.4 bilion bagi bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat; RM450 juta bagi bantuan awal persekolahan; RM400 juta bagi rancangan makanan tambahan termasuk bekalan susu harian bagi anak-anak miskin; RM450 juta untuk inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia;  dan RM4.8 bilion bagi program JaminKerja dan Latihan MySTEP bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya