KANGAR: Kerja-kerja pembinaan projek pembangunan Jeti Bersepadu Sanglang di sini, dijangka bermula pada suku ketiga tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, proses-proses mendapatkan kelulusan telah selesai dilaksanakan pihak pemaju iaitu Syarikat Mutiara Perlis Sdn. Bhd.
Katanya, kelulusan tersebut termasuk dari aspek-aspek berkaitan dengan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dan kelulusan-kelulusan diperlukan untuk melaksanakan projek terbabit.
“Proses mendapatkan kelulusan melibatkan Laporan Environment Impact Assessment (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang diperoleh pada 12 Januari lalu, Pelan Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbandaran Kangar (MPK) (22 November 2021) dan laporan Penilaian Impak Sosial (SIA) daripada PLANMalaysia (24 September 2021).
“Pelan reka bentuk belum dikemukakan kepada pihak MPK. Pihak syarikat mensasarkan pelan bangunan akan dimajukan kepada MPK pada suku pertama 2022, diluluskan MPK pada suku kedua dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada suku ketiga tahun yang sama,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd. Shukri Ramli (Pas- Guar Sanji) berkaitan perkembangan pembangunan Jeti Bersepadu Sanglang. – UTUSAN ONLINE