SHAH ALAM: Pembida yang berjaya membida 40 aset milik usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, Muhammad Syazwan Ahmad Fiesol sah merupakan pembantu peribadi (PA) kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri.
Perkara itu diakui beliau menerusi satu laporan portal ketika mengulas isu mengenai tindakan pembantu peribadinya membida barangan milik Muhammad Sajjad pada harga RM132,000 dan memenanginya.
“Memang dia bekerja untuk saya, namun dia mempunyai hak untuk membuat pilihan membeli dan sebagainya.
“Mungkin ada yang mengaitkan saya kerana pada pagi semalam saya menitipkan kata-kata semangat buatnya. Takkan itu pun salah,” katanya seperti dilaporkan akhbar hari ini.
Tambahnya, beliau menafikan dirinya mempunyai kaitan dengan tindakan pembantu peribadinya membeli barangan tersebut dan memaklumkan barangan perhiasan dalam rumahnya sudah cukup banyak.
“Sekiranya dia ingin membeli, itu berada di luar bidang kuasa saya. Kebanyakan barang-barang di dalam rumah Sajat itu adalah barang saya.
“Jadi untuk apa saya hendak membelinya. Jika diikutkan hiasan dalam rumah saya pun sudah cukup banyak. Kadangkala rakyat Malaysia gemar memperbesarkan perkara kecil,” selarnya.
Jelas Aliff, beliau enggan mengulas lanjut mengenai identiti pembantu peribadinya itu dan menyatakan sesiapa pun boleh membeli barangan yang dilelong oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membayar pampasan sebanyak RM200,000 kepada bekas stokis Muhammad Sajjad.
“Siapa pun layak ikut serta proses lelongan itu. Tak kisah siapa pun dia, semua boleh (bida harta lelongan Sajat),” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan aset milik Muhammad Sajjad dilelong semalam pada pukul 10.30 pagi semalam bagi menjelaskan pampasan yang dituntut oleh bekas pengendali stokis perniagaan bengkung dan girdle miliknya.
Dalam proses lelongan tersebut, terdapat kira-kira 30 pembida hadir untuk membida namun daripada jumlah tersebut hanya lapan orang sahaja dibenarkan membida untuk membeli kesemua 40 barang.
Walau bagaimanapun, ketika keputusan bidaan dibuat, Muhammad Syazwan menjadi pembida berjaya apabila meletakkan harga paling tinggi.
Namun menurut peguam dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifili yang mewakili Nurwati Hussin, 41, dan Mohamad Syakir Husin, 32, dari syarikat OWA Resources, pembida terbabit menghilangkan diri.
Menurut Zeti, Muhammad Syazwan gagal dikesan dan panggilannya tidak dijawab sejak pukul 4 petang semalam selepas kali terakhir dihubungi memaklumkan dia mahu ke bank untuk menguruskan draf bank.
Lantaran itu, pihaknya kemudian merujuk semula perkara terbabit ke mahkamah dan mengarahkan satu arahan akan dikeluarkan mahkamah dan proses berkenaan ditetapkan semula dalam masa tujuh hari mulai semalam.
Disebabkan tindakan sedemikian, Muhammad Syazwan dilaporkan kehilangan deposit RM5,000 yang dibayar bagi menyertai proses pembidaan berkenaan.
Terdahulu Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan aset milik Muhammad Sajjad dilelong bagi menjelaskan pampasan dituntut oleh Nurwati dan Mohamad Syakir.
Notis tersebut kemudian ditampal di kediamanya pada November lalu oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Wahida Md. Nor.