PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) memulakan inisiatif membangunkan Mukim Sedenak, yang terletak di utara Iskandar Malaysia untuk mempercepat pertumbuhan di kawasan itu dan daerah-daerah berdekatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Sedenak menjadi flagship keenam di wilayah itu selepas Pusat Bandar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas dan Tanjung Bin, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat serta Senai Skudai.
Menurut beliau, pada masa ini, kebanyakan pembangunan di Iskandar Malaysia tertumpu di bahagian selatan Johor dan setiap flagship mempunyai fokus pembangunan tersendiri.
“Sedenak memberi tumpuan kepada industri agroteknologi, teknologi tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti rendah karbon.
“Pembangunan Sedenak juga memanfaatkan komuniti tempatan dan mengukuhkan jaringan akses antara Johor dan negeri-negeri lain. Ini menyumbang ke arah menjadikan Johor sebagai sebuah hab pembekal makanan dan pintu masuk antarabangsa untuk Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri yang juga pengerusi bersama IRDA mempengerusikan mesyuarat ahli pihak berkuasa itu di sini hari ini secara maya yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad serta beberapa Menteri Kabinet.
Ismail Sabri berkata, Iskandar Malaysia juga melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengekalkan atau meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sepanjang tahun ini, kata beliau, seramai 5,000 ahli Keluarga Malaysia di wilayah itu menerima bantuan dalam bentuk geran padanan gaji, geran memulakan perniagaan, latihan dan pembangunan kapasiti.
Beliau memberitahu, melalui Iskandar Malaysia Employment Grant (IMEG), sebanyak 252 syarikat mengekalkan atau mengambil seramai 1,811 pekerja baharu termasuk golongan wanita, penganggur, orang kurang upaya dan pesara.
“Seramai 1,425 usahawan pula menyertai pelbagai program latihan, manakala 117 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima geran untuk menyokong operasi perniagaan mereka di bawah Program Usahawan Dinamik Iskandar Malaysia.
“Sejumlah 140 peserta B40 menyertai Program Iskandar Malaysia Urban Farming (IMURFARM) dan berjaya mencatatkan purata pendapatan sebanyak RM2,800 setiap tuaian, manakala 730 peserta program IM Makmur merekodkan peningkatan purata pendapatan antara 25 peratus hingga 65 peratus melalui skim penjanaan pendapatan,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, IMRENT (geran pembayaran sewa), IMSTART (geran permulaan perniagaan) dan IMYES (geran usahawan belia) adalah antara bantuan-bantuan kewangan dan latihan untuk golongan tertentu di bawah agenda ekonomi inklusif di Iskandar Malaysia.
Bagi tujuan menperhebat lagi bantuan untuk rakyat, kata beliau, IRDA turut menyarankan keperluan untuk meneruskan pembangunan rumah transit disasarkan kepada rakyat yang baru sahaja bekerja, memulakan perniagaan atau keluarga.
“Melihat kepada trend generasi sekarang yang lebih berminat untuk menyewa daripada membeli rumah, skim sewaan rumah ini membolehkan mereka tinggal di perumahan yang selamat dan mampu milik sementara mereka menstabilkan sumber-sumber mereka untuk masa hadapan yang lebih kukuh.
“Skim ini terbukti berjaya melalui Rumah Iskandar Malaysia, yang terletak di Gelang Patah, di mana hampir kesemua 1,500 unit apartment didiami dan dimanfaatkan rakyat,” katanya.
Ismail Sabri berkata, mengambil kira kesan pandemik yang terus memberi tekanan kepada agenda dan inisiatif kemampanan Iskandar Malaysia, ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju agar wilayah ini meneruskan dan menyegerakan inisiatif-inisiatif utama.
Katanya, ini seperti Iskandar Rapid Transit (IRT), Iskandar Malaysia Urban Observatory (IMUO), Bandar Pintar Iskandar Malaysia, Masyarakat Rendah Karbon, Program Komuniti Hijau dan Pengurangan Karbon dan Iskandar Malaysia Ecolife Challenge (IMELC).
“Inisiatif-inisiatif ini menggalakkan pendekatan kemampanan menyeluruh daripada segi ekonomi, sosial dan alam sekitar,” katanya. – UTUSAN ONLINE