PETALING JAYA: Pembangunan Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak harus tertumpu kepada menetapkan harga pampasan berasaskan konsep urus niaga suka sama suka.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pembangunan Kampung Baru perlu disusun semula secara berperingkat supaya lebih teratur dengan meningkatkan prasarana asas lebih sempurna.
Selain itu, katanya, konsep pelan induk Perbadanan Perkampungan Kampung Baru (PPKB) sewajarnya mengguna pendekatan mengekalkan warga Melayu di kawasan tersebut dengan meningkatkan kemudahan prasarana.
“Konsep membeli dengan mengambil alih tanah di Kampung Baru dan kemudian membiarkan warga mencari penempatan di tempat lain adalah tidak wajar kerana banyak penempatan orang Melayu di ibu negara kini sudah tidak lagi wujud apabila pendekatan membeli dan mengeluarkan orang Melayu dari tempat tersebut diguna.
“Kampung Kerinci dan Kampung Abdullah Hukum adalah contoh bila orang Melayu akhirnya terpaksa tinggal di flat yang sesak dan tidak selesa setelah dipindahkan dari kawasan asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari.
Sebelum itu, penduduk sekitar Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, mengadakan bantahan projek pembangunan semula kawasan tersebut yang dianggap berat sebelah dan ‘menindas’ mereka. – UTUSAN ONLINE