IPOH: Pembangkang mengalu-alukan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berhubung masalah kewangan yang dialami taman tema Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru Raya dekat sini yang dikatakan mencecah RM600 juta.
Ketua Pembangkang, Dr. Abdul Aziz bari berkata, keterbukaan dan keberanian Saarani yang membuat kenyataan itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 17 Disember lalu berbeza dengan sikap dolak-dalik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang akhirnya menyebabkan skandal tersebut disapu ke bawah tikar.
Menurutnya, sejak dari mula lagi Pakatan Harapan (PH) tegas mahu skandal tersebut disiasat.
“Inilah sebabnya mengapa pentadbiran PH di Perak tidak memberikan kerusi Pengerusi PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri) dalam Dewan kepada Pembangkang selepas PRU 2018.
“PH berharap keterbukaan dan ketegasan Menteri Besar akan membawa kepada proses yang kita harapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, bagaimanapun PH tidak bersetuju dengan pendirian Saarani yang melihat MAPS sesuatu yang tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri Perak.
Menurutnya, penglibatan dan kepentingan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) sudah cukup untuk meletakkan kerajaan negeri dalam keadaan bertanggungjawab.
“Perubahan terma dan istilah daripada perusahaan awam kepada off-budget agency kepada syarikat kerajaan dan sekarang GLC tidak harus digunakan untuk lari dari pertanggungjawaban dan akauntabiliti,” katanya.
Menurutnya, hakikatnya ialah semua perubahan dan anjakan adalah pendekatan dan mekanisme untuk mempermudah kawalan dan memperketat mekanisme akauntabiliti.
Beliau berkata, pertanggungjawaban yang dituntut oleh Perlembagaan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Perkara VII (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan dan undang-undang di bawah Akta Syarikat 1965, harus dibaca bersama.
“Peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965 tidak harus digunakan untuk lari dari tuntutan pertanggungjawaban; khususnya di pihak kerajaan kepada Dewan Negeri,” katanya.
Abdul Aziz berkata, perlu disedari dalam isu MAPS, label dan hakikat tidak harus dikelirukan.
Beliau berkata, apa yang ada sekarang ialah akauntabiliti politik dan soal sama ada liabiliti jenayah, bergantung kepada hasil siasatan itu nanti.
“Apa pun PH berpegang kuat kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Apa yang dituntut ialah ketegasan dan ketelusan, proses ini bukan aktiviti balas dendam atau mencari siapa yang salah. Biarlah kita mengambil sikap berani kerana benar, takut kerana salah’,” katanya. – UTUSAN ONLINE