Pemandu mabuk maut dalam kemalangan, minuman tuak ditemukan - Utusan Malaysia

Pemandu mabuk maut dalam kemalangan, minuman tuak ditemukan

KEMALANGAN maut yang membabitkan tiga buah lori di Jalan Sungai Burong, Tawau semalam. - IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seorang pemandu lori yang dipercayai mabuk maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori di Jalan Sungai Burong semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam itu, pemandu lori Daihatsu berusia 63 tahun yang dipercayai mabuk itu didapati memasuki laluan bertentangan hingga bertembung dengan sebuah lori lain.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Peter Ak Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu lori Daihatsu yang dipercayai khayal sehingga hilang kawalan.

Pemeriksaan di dalam lori yang dipandu mangsa turut menemukan minuman tuak.

“Semasa kejadian, pemandu tersebut tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu melanggar cermin sisi kanan serta lampu belakang sebuah lori yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau.

“Kemudian, pemandu lori (Daihatsu) yang sedang menuju ke Semporna memasuki semula laluannya sebelum menuju ke laluan bertentangan sehingga bertembung dengan lori jenis Nissan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, dua pemandu lori lain tidak mengalami sebarang kecederaan namun, kedua-dua lori mengalami kerosakan iaitu pecah cermin sisi kanan dan lampu belakang serta rosak pada bahagian hadapan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya