SUNGAI PETANI: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Awam (PGA) di Kilometer 79.5 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, Jumaat lalu.
Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nadhirah Abdul Rahim.
Mengikut fakta kes, pada 24 Disember lalu, Hairul Azman yang berasal dari Sungai Besar, Selangor didakwa memandu lori jenis Hino di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine pada pukul 2.09 pagi.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana tidak berdaya mengawal kenderaan hingga menyebabkan kematian seorang pemandu Honda City.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara minimum 10 tahun atau maksimum 15 tahun, denda antara RM50,000 hingga RM100,000 dan hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol Abidin manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad daripada Yayasan Bantuan GuamanKebangsaan (YBGK).
Terdahulu, Syed Ahmad Ridzuan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM50,000 terhadap tertuduh selain syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan tempat tinggalnya di Sungai Besar, Selangor sebulan sekali.
Bagaimanapun, Tengku Hezrul meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta anak yang masih kecil dan ibu bapa yang sudah uzur.
Nadhirah kemudian menetapkan jaminan berjumlah RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 26 Januari depan sementara menanti keputusan patologi dan kimia.
Dalam kejadian Jumaat lalu itu, seorang anggota PGA, Koperal Muhamad Aziem Azman, 34, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala terbabit kemalangan dengan lori dipandu tertuduh.
Isteri mangsa yang merupakan seorang guru berusia 34 tahun mengalami kecederaan di kepala, badan dan kaki manakala anak mereka berusia empat tahun tidak cedera. Ketika kejadian pada pukul 2.09 pagi itu, pasangan suami isteri terbabit berada di luar kenderaan mereka yang rosak dan berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 79.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara.
Ketika itu, sebuah lori syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (Propel) dan peronda PLUS turut berhenti memberikan bantuan namun dirempuh lori yang dipandu tertuduh dari arah belakang. – UTUSAN ONLINE