ALOR SETAR: Seorang pemancing ditemukan lemas dan lima lagi rakannya selamat selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai, Sungai Petani, dekat sini hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot terbabit mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.35 pagi.
Katanya, susulan itu Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 11.35 pagi.
“Bot Perkasa 1221 Maritim Negeri Pulau Pinang dan bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah telah diatur gerak ke lokasi kejadian dan menemukan bot berkenaan dalam keadaan terbalik pada pukul 12.20 tengah hari.
“Semua mangsa ditemukan memakai jaket keselamatan termasuk mangsa yang lemas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, mangsa yang lemas ialah Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, manakala lima yang selamat terdiri daripada tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, bersama empat kru, Mohd. Firdaus Zainal Abidin, 36; Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19; Zulkifli Ahmad , 45; dan Hafizul Ajis Samsudin, 31.
“Mangsa yang meninggal dunia telah dibawa balik ke Jeti Tanjung Dawai untuk proses sanitasi oleh Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Jelasnya, salah seorang daripada mangsa mengalami cedera ringan dibawa oleh bot nelayan tempatan ke jeti berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk rawatan lanjut.
“Sementara itu, empat lagi mangsa lain dibenarkan pulang ke rumah bersama waris,” ujarnya.
Tambahnya, Maritim Malaysia mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik dan membawa Personal Locator Beacon (PLB). – UTUSAN