GOMBAK: Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memberi beberapa kelonggaran untuk membantu penuntutnya yang terkesan akibat bencana banjir ketika ini.
UIAM dalam kenyataan memaklumkan, pelajar yang terlibat boleh memohon untuk cuti belajar bagi Semester 1, 2021/2022 dengan pengecualian yuran pengajian bagi semester berkenaan.
Katanya, pelajar yang diluluskan permohonan di bawah kemudahan itu dikecualikan dari jumlah kiraan semester tempoh pengajian.
“Pelajar yang terkesan boleh menggugurkan beberapa subjek yang didaftar untuk semester itu dengan yuran pengajian yang dikecualikan bagi subjek berkenaan.
“Di bawah kemudahan ini juga pelajar boleh menggugurkan subjek walaupun jumlah kiraan kredit keseluruhan adalah di bawah syarat minimum dan mestilah mendapat kelulusan dari pusat pengajian,” katanya hari ini.
Menurut UIAM, pelajar yang terkesan dan tidak dapat menduduki peperiksaan akhir semester itu juga boleh memohon mengambil peperiksaan khas dengan kelulusan pusat pengajian masing-masing.
Jelasnya, pihak universiti bersedia membantu dan menghulurkan bantuan kepada warga UIAM yang terkesan dan amat prihatin mengenai kebajikan dan kesejahteraan serta keselamatan dan kesihatan warga universiti.
“Ini adalah inisiatif pihak pengurusan supaya dapat meringankan bebanan pelajar yang terkesan dan dilanda musibah. Ini adalah hasil keputusan dari Senat Universiti yang bermesyuarat hari ini meluluskan satu ketetapan untuk membantu pelajar ini.
“Dengan kelonggaran yang diberikan, pihak universiti berharap agar pelajar dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada keluarga dan diri mereka dalam menghadapi musibah banjir ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE